Liputan 5G di Kelantan Capai 67 Peratus, 232 Tapak Pemancar Siap Dibina

YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri Kelantan

Oleh : Che Maziah Mat

Kota Bharu, 6 November – Sebanyak 232 menara pemancar 5G telah dibina di negeri Kelantan, sekali gus memberikan liputan 5G kepada 67 peratus kawasan berpenduduk, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.

Beliau memaklumkan, sebanyak 109 tapak telah dinaik taraf oleh syarikat U Mobile Sdn. Bhd. kepada liputan 5G sejak mula beroperasi pada 14 Julai tahun ini. Setakat ini, terdapat 225 pemancar telah beroperasi di kawasan berpenduduk, manakala 66 lagi masih dalam pemantauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kelaboran, YB Mohd Adanan Hassan, pada Persidangan Ketiga Belanjawan bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Ke-15 Tahun 2025 hari ini.

Menurut beliau, penilaian jurang capaian 5G dibuat berdasarkan kepadatan penduduk. Sebagai contoh, di jajahan Kota Bharu yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, satu kawasan liputan 5G boleh meliputi sehingga 200 orang, manakala di Gua Musang liputan yang sama hanya melibatkan sekitar 10 orang penduduk.

“Keadaan ini menyebabkan wujudnya jurang capaian antara kawasan berpenduduk padat dan kawasan yang kurang penduduk,” katanya ketika menjawab soalan tambahan berhubung perbezaan capaian 5G berdasarkan kepadatan penduduk.

Post a Comment

0 Comments