Rakyat boleh nilai telatah menteri di era Madani

 

Oleh Salmah Mat Husain

BESUT: Rakyat boleh menilai sendiri kepimpinan kerajaan Madani sekarang yang dilihat sering menggunakan kuasa politik terhadap pihak yang tidak disenangi.

Timbalan Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, situasi itu dapat dilihat apabila Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming cuba mengugut wartawan yang bertanya soalan.

“Tindakan menteri terbabit telah menimbulkan kemarahan pelbagai pihak termasuk budayawan, wartawan, NGO,” katanya di sini.

Baru-baru ini media melaporkan Nga Kor Ming berang ekoran soalan seorang wartawan yang bertanyakan mengapa tema projek bandar ‘I Lite U’ dalam bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.

Berikutan itu Kor Ming bertanya ‘awak dari media mana? saya akan hubungi editor awak’.

Tindakan menteri terbabit mendapat kecaman Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang memandang serius insiden tersebut dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beradab, menghina serta tidak boleh diterima.

Wan Azhar berkata, permohonan maaf Nga Kor Ming terhadap wartawan terbabit perlu menjadi pengajaran supaya tidak lagi mengguris perasaan mana-mana pihak termasuk wartawan yang menjalankan tugas.

“Sebagai pemimpin kita perlu lebih berhati-hati dan mengambil kira sensitiviti masyarakat memandangkan isu itu berlaku membabitkan seorang menteri,” ujarnya.

 

 

 

Post a Comment

0 Comments