Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 6 November – Kerajaan Kelantan memacu anjakan strategik dengan memberi penekanan kepada ekonomi digital (K-Ekonomi) sebagai teras Belanjawan 2026, menandakan peralihan penting daripada pergantungan kepada model ekonomi konvensional menuju sistem ekonomi berteraskan inovasi, data dan teknologi.
Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS) Dato’ Dr. Wan Nik Wan Yusof berkata langkah tersebut mencerminkan kesediaan kerajaan negeri membina ekosistem ekonomi yang lebih mampan, berdaya saing dan inklusif, sejajar dengan tuntutan era transformasi digital.
“Kelantan tidak lagi boleh hanya bergantung kepada sektor tradisional seperti pertanian dan makanan sahaja.
"Ekonomi digital membuka potensi pekerjaan baharu, memperluas jaringan rantaian nilai, serta memperkasa keupayaan rakyat menyertai ekonomi masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel podcast “Fokus Belanjawan 2026” terbitan Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), yang bersiaran dari Studio IPTG, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Menurutnya lagi, strategi itu didasari kepimpinan kerajaan negeri yang mengutamakan tadbir urus berteraskan nilai Islam, memastikan setiap dasar dirangka tanpa meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat dalam arus pembangunan ekonomi.
Dalam memperkukuh pelaksanaan, agenda Belanjawan 2026 akan digerakkan melalui 11 portfolio utama merangkumi Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
Bagi menyelaraskan hala tuju dasar, Unit Pemantauan Strategi (SPARK) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) akan membimbing setiap portfolio melalui bengkel perancangan tahunan yang menumpukan keutamaan, cabaran dan tindakan strategik setiap sektor.
“Kerangka ini memastikan setiap perancangan bukan sahaja responsif kepada realiti semasa, malah selari dengan aspirasi rakyat dan tuntutan ekonomi global,” jelasnya.

0 Comments