Oleh: Norzana Razaly
Kebimbangan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap perjanjian dagang Malaysia-Amerika Syarikat pada 26 Oktober 2025 berhubung nadir bumi (REE) adalah reaksi terhadap urus niaga antarabangsa dan manifestasi pertarungan kuasa antara kedaulatan sumber negeri dengan struktur ekonomi global yang dipacu kepentingan geopolitik.
Dalam kerangka federalisme asimetri, isu tersebut menzahirkan persoalan besar tentang maslahah negeri, keadilan distributif, serta hak menentukan hala tuju pembangunan berasaskan sumber sendiri iaitu hakikat bahawa kemakmuran yang sejati mesti berakar pada kebebasan mengurus rezeki tanah sendiri.
Kenyataan rasmi Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan, pada 30 Oktober 2025 telah membuka lembaran baharu dalam wacana politik ekonomi negara. Tatkala isu nadir bumi (REE) sering dilihat dari sudut pelaburan dan pertumbuhan makro, Dato’ Dr. Fadzli mengajak khalayak menilai dari sudut kedaulatan sumber serta hak negeri dalam menentukan masa depan ekonominya.
Dalam nada yang tenang tetapi tegas, beliau menegaskan bahawa kebimbangan Kelantan bukan bermaksud menolak pelaburan asing, sebaliknya mempertahankan hak negeri agar tidak diketepikan dalam rundingan antarabangsa yang berkait langsung dengan sumber di wilayahnya sendiri.
Penjelasan beliau dipetik sebagai berkata “agar semua dapat melihat perkara ini dengan mata hati dan fikiran terbuka” merupakan manifesto intelektual tentang bagaimana sumber alam wajar diurus dengan prinsip keadilan, amanah, dan keseimbangan antara keuntungan ekonomi serta kedaulatan negeri.
Hak negeri dan tafsiran perlembagaan
Hujah utama Dato’ Dr. Fadzli berasaskan tafsiran Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa semua sumber mineral dalam sempadan negeri adalah hak milik negeri. Prinsip ini berakar daripada semangat Jadual Kesembilan, Senarai II (Senarai Negeri) yang menegaskan autonomi negeri dalam urusan pelesenan dan kawalan sumber mineral.
Dari sudut sains politik dan ekonomi pembangunan wilayah, kenyataan itu membawa implikasi besar terhadap konsep “souvereniti ekonomi” iaitu hak sesebuah entiti wilayah untuk menentukan arah eksploitasi, pemprosesan, dan pengagihan hasil bumi dalam kerangka keadilan distributif.
Namun, dalam sistem federalisme Malaysia yang berteraskan pengagihan kuasa tidak simetri (asymmetric federalism), hak-hak negeri seringkali dikaburkan oleh kuasa persekutuan yang melangkaui sempadan pentadbiran, khususnya apabila melibatkan perjanjian antarabangsa. Di sinilah tercetus dilema: sejauh manakah kerajaan negeri dapat mempertahankan kedaulatan ekonominya apabila keputusan strategik dibuat di peringkat pusat?
Apa yang dikemukakan oleh Dato’ Dr. Fadzli bukanlah bantahan politik semata-mata, sebaliknya beliau menegaskan prinsip bahawa pengurusan sumber alam tidak boleh dipisahkan daripada hak menentukan hala tuju ekonomi negeri. Pengurusan sumber alam adalah hak moral dan konstitusional (hak untuk mentafsir keadilan ekonomi dari sudut wilayah, selari dengan konsep maslahah negeri dalam kerangka ekonomi Islam).
Klausa ‘shall refrain’: Tanda kuasa yang mengikat
Perhatian utama yang ditimbulkan dalam kenyataan beliau merujuk kepada klausa perjanjian yang berbunyi:
“Malaysia shall refrain from banning, or imposing quotas on exports of rare earths to the United States.”
Dalam konteks diplomasi ekonomi antarabangsa, istilah “shall” bukan bermakna cadangan, tetapi perintah yang bersifat mengikat. Dari sudut geopolitik sumber, klausa ini membawa implikasi bahawa Malaysia (termasuk negeri yang memiliki sumber) terikat untuk tidak menghadkan eksport walaupun atas alasan keperluan domestik atau pertimbangan kelestarian.
Fenomena tersebut menunjukkan wujudnya bentuk neoimperialisme sumber iaitu penguasaan baharu yang tidak lagi bergantung kepada penjajahan wilayah, sebaliknya melalui kawalan terhadap aliran bahan mentah strategik. Dalam senario ini, negara membangun sering kali menjadi penyedia sumber, manakala negara maju mengawal rantaian nilai, teknologi, dan pasaran global.
Dalam bahasa ekonomi politik, REE ialah simbol kuasa bukan cuma komoditi. Kuasa yang menentukan siapa yang menguasai masa depan industri tenaga hijau, pertahanan, dan teknologi canggih.
Oleh itu, kebimbangan Kelantan yang disuarakan Timbalan Menteri Besar itu ada asasnya justeru kegusaran itu melibatkan persoalan tentang keadilan distributif dalam ekosistem ekonomi global atau dalam erti kata lain apakah nilai sebenar sumber yang digali dari tanah negeri ini memberi manfaat adil kepada rakyatnya?
Analogi sawah dan padi: Naratif ekonomi rakyat
Keindahan retorik politik Dato’ Dr. Fadzli terserlah apabila beliau menggunakan tamsilan yang dekat dengan jiwa rakyat: “Sawah kita, orang lain jual padi.”
Ungkapan ini bukanlah sekadar kiasan melainkan suatu strategi pendidikan ekonomi yang menghubungkan konsep abstrak seperti rantaian nilai dengan realiti masyarakat tani. Dalam ekonomi Islam, tamsilan seperti ini mengingatkan kepada prinsip adl (keadilan) dalam agihan hasil dan hisbah (akauntabiliti) dalam urus niaga.
Tulisnya, “Beginilah kebimbangan kami terhadap REE. Kami tidak mahu menjadi seperti petani yang hanya melihat lori penuh padi keluar dari sawahnya sendiri tanpa tahu berapa harga sebenar hasilnya dan kepada siapa ianya dijual. Si petani sendiri sebenarnya sudah ada perancangan untuk memperoses padi menjadi beras, sehingga seterusnya membuka restoran yang menjual segala macam hidangan nasi dan kuih muih. Sudah tentu lebih ramai orang akan mendapat manafaat dan petani sendiripun akan mendapat pendapatan dari banyak jenis pekerjaan.”
Lagi katanya, “Lain halnya kalau dia hanya menjual padi sahaja. Untung hanya sekali. Ladang getah kita yang punya, tetapi kita terpaksa membeli tayar dari orang lain. Kalaupun kita tidak mampu mengadakan kilang tayar, mengapa tidak kita tetapkan syarat jika nak beli getah kita untuk dijadikan tayar atau apa sahaja barangan getah, maka proses dan kilangnya mesti dibuat di negeri kita. Nantinya harga tayar dan barangan lain kita akan dapat dengan harga lebih murah. Kita juga akan menambah sumber pendapatan lain dalam bentuk pelbagai jenis cukai. Anak-anak muda kita mendapat banyak peluang pekerjaan dan juga kemahiran. Berlaku proses pemindangan teknologi.”
Hakikat yang beliau tekankan ialah Kelantan tidak menolak pelaburan namun menuntut pelaburan yang memelihara kedaulatan nilai dan keadilan agihan. Maka, persoalan yang lebih besar bukannya siapa melabur, tetapi siapakah yang menentukan hala tuju pelaburan dan bagaimanakah manfaatnya diagihkan?
Secara teori ekonomi pembangunan wilayah, inilah inti kepada konsep autonomi rantaian nilai iaitu apabila negeri memiliki keupayaan pemprosesan, inovasi teknologi, dan penguasaan pasaran hiliran. Bukannya mengeksport bahan mentah sahaja.
Trauma petroleum dan ingatan kolektif rakyat
Apabila Dato’ Dr. Fadzli menyebut “sejarah petroleum tidak boleh berulang,” beliau mengaktifkan ingatan kolektif rakyat terhadap ketidakadilan ekonomi lampau. Strategi berkenaan membina legitimasi moral dalam wacana dasar justeru ingatan terhadap royalti minyak yang tidak dibayar kepada Kelantan adalah simbol ketidakseimbangan struktur kuasa antara pusat dan negeri. Sementelahan pula penafian hak Kelantan itu merupakan nostalgia politik yang tragis.
Kekhuatiran beliau menggambarkan keperluan Kerajaan Persekutuan untuk membina dasar baharu berasaskan federalisme kolaboratif, bukan federalisme hierarki. Baginya, negeri wajar diberi ruang dalam rundingan dasar sumber strategik bukan sekadar penerima dasar yang dirangka pusat. Dalam kerangka Islami, usulnya itu sejajar dengan prinsip syura dan ta’awun dalam urus tadbir; perundingan bersama untuk mencapai maslahat yang lebih luas.
REE sebagai agenda autonomi Industri
Dalam dunia pasca-globalisasi, REE kini dianggap aset keselamatan nasional. Kelantan dilihat bersedia mengambil langkah strategik ke arah autonomi industri sumber, termasuk meneroka kerjasama teknologi pemprosesan, pemindahan ilmu, dan pembangunan rantaian nilai tempatan.
Pendekatan itu menepati paradigma pembangunan berasaskan wilayah iaitu strategi membangun kekuatan dalaman negeri untuk menyeimbangkan ketergantungan terhadap pusat.
Dalam konteks ini, Kelantan tidak sesekali menolak kerjasama antarabangsa sebaliknya menuntut agar sebarang pelaburan berpaksikan prinsip manfaat bersama. Dalam bahasa ekonomi Islam, kebersamaan itulah perihal yang yang bersandarkan prinsip maslahah dan amanah dengan mengakui kekayaan bumi adalah amanah Allah yang perlu dimakmurkan demi kesejahteraan rakyat, bukan segelintir elit ekonomi.
Seruan kepada federalisme seimbang dan adil
Nada akhir kenyataan Dato’ Dr. Fadzli memperlihatkan kematangan politik ekonomi yang berasaskan keseimbangan, bukan konfrontasi. Beliau menegaskan bahawa isu REE perlu ditangani dengan “mata hati dan fikiran terbuka.”
Pernyataan itu mencerminkan strategi autonomi pragmatik yakni mempertahankan hak negeri dalam kerangka kolaboratif, tanpa menafikan keperluan koordinasi nasional. Dalam erti yang lebih luas, beliau menuntut sebuah sistem federalisme yang bersifat syura moden yang menyediakan wahana kepada negeri dan pusat berunding secara telus dalam hal dasar ekonomi yang menyentuh kepentingan bersama.
Bagi ekonomi wilayah, hal tersebut penting untuk membina daya tahan dalam menghadapi perubahan pasaran global yang tidak menentu. Kelestarian sumber, keadilan agihan, dan integriti urus tadbir menjadi tiga tunggak kepada kedaulatan ekonomi negeri yang berteraskan nilai Islam dan prinsip pembangunan mampan.
Persimpangan antara kedaulatan dan globalisasi
Keseluruhan kenyataan rasmi tersebut, apabila dibaca dari lensa ekonomi politik, merupakan sebuah manifesto kedaulatan ekonomi wilayah dalam era globalisasi mineral strategik. Timbalan Menteri Besar Kelantan itu menyeru agar negeri tidak dilihat sebagai entiti periferi (pinggiran) dalam struktur ekonomi nasional, sebaliknya sebagai rakan strategik dalam menentukan arah pembangunan negara.
Sekiranya petroleum pernah menjadi simbol kehilangan hak negeri, maka REE kini menjadi medan ujian baharu bagi keadilan federalisme Malaysia. Kelantan, melalui suara Dato’ Dr. Fadzli, menegaskan bahawa pembangunan yang berkat hanya dapat dicapai apabila hak negeri dihormati, manfaat diagih secara adil, dan urus tadbir berpaksikan amanah.
Sebagaimana yang beliau simpulkan, “Kami ingin kemajuan yang membawa rahmat kepada semua, bukan kemajuan yang menafikan hak negeri dan rakyat. Dengan penjelasan di atas, kami harap tuan puan boleh memahami mengapa kami perlu merasa bimbang dan kebimbangan kami itu berasas. Kalau sememangnya perjanjian itu tidak bermaksud begitu, anggaplah ianya sebagai satu ingatan.”
Dalam konteks ekonomi Islam dan pembangunan wilayah, peringatan ini merupakan seruan moral agar kedaulatan sumber bumi tidak dikorbankan atas nama pelaburan, dan agar kesejahteraan rakyat tetap menjadi kompas utama dalam setiap dasar ekonomi negara.


0 Comments