Veterinar pemacu baharu pembangunan industri ternakan Kelantan


Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 4 November – Sektor veterinar kini dilihat memainkan peranan dalam kawalan penyakit haiwan dan menjadi pemacu utama pembangunan industri ternakan berdaya saing, kemajuan bioteknologi serta melahirkan generasi baharu usahawan muda dalam bidang penternakan.

Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi YB Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata keupayaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kelantan (JPVNK) melaksanakan fungsi kawalan penyakit dengan berkesan telah memperkukuh keyakinan terhadap keselamatan makanan negeri dan membuka ruang kepada pertumbuhan ekonomi berasaskan ternakan yang lebih dinamik.

“Peranan sektor veterinar kini jauh lebih luas, Bukan sahaja memastikan kesihatan dan kebajikan haiwan, tetapi juga menjamin keselamatan makanan rakyat serta kelestarian sumber protein tempatan. Ia adalah tunjang kepada daya tahan industri pertanian negeri,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Veterinar Peringkat Negeri Kelantan 2025 yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, semalam.

Dato’ Tuan Saripudin turut merakamkan penghargaan kepada JPVNK atas komitmen berterusan dalam memperkukuh sistem veterinar negeri melalui pelbagai inisiatif kawalan, program kesedaran awam serta kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, swasta dan komuniti penternak.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga JPVNK yang bukan sahaja memainkan peranan penting dalam perkhidmatan veterinar, tetapi juga dalam menggerakkan pelan pembangunan ternakan negeri yang mampan. Sinergi bersama pelbagai agensi ini amat penting bagi memperkukuh keselamatan makanan dan ekonomi tani,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Penghargaan Veterinar kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Jajahan Cemerlang, rakan strategik, serta pegawai dan staf yang menerima pengiktirafan khas atas kecemerlangan serta dedikasi mereka dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.


Dato’ Tuan Saripudin turut menyeru agar warga Jabatan Perkhidmatan Veterinar terus memperkukuh nilai integriti, profesionalisme dan inovasi, selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan sektor penternakan sebagai teras pertumbuhan ekonomi pertanian baharu yang berdaya tahan dan lestari.

“Veterinar bukan lagi hanya tentang kawalan penyakit, tetapi tentang masa depan industri penternakan yang membina daya saing, memacu bioteknologi dan mencipta peluang ekonomi baharu untuk rakyat Kelantan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments