Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 27 November – Pengurusan Sukan Para kini secara rasmi diserahkan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan, selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan MSN kali ke-109 memperakukan langkah strategik itu sebagai hala tuju baharu pembangunan sukan negeri.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhammad berkata penyerahan tersebut menjadi antara agenda terpenting yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan kerana ia bakal mewujudkan ekosistem pembangunan atlet para yang lebih tersusun dan profesional.
“Langkah ini penting untuk memastikan pembangunan atlet para digerakkan melalui struktur pentadbiran yang jelas, latihan yang lebih sistematik serta sokongan teknikal yang lebih terfokus,” katanya menerusi media sosial, semalam.
Beliau turut memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut meneliti pelaksanaan inisiatif jabatan angkat bagi setiap sukan di bawah MSN Kelantan, bagi membolehkan setiap bahagian memantau prestasi serta kemajuan sukan tertentu secara lebih dekat termasuk aspek latihan, penyertaan pertandingan dan pembangunan bakat baharu.
Dalam mesyuarat sama, jawatankuasa turut memperhalusi garis panduan insentif pengecualian cukai bagi sumbangan kepada Tabung Sukan Negeri, satu usaha yang dijangka membuka lebih banyak ruang sokongan daripada pelbagai pihak dan mengukuhkan kapasiti pembiayaan pembangunan sukan negeri.
Laporan penganjuran Temasya Sukan Kelantan 2025 turut dibentangkan untuk menilai kekuatan, kelemahan dan cadangan penambahbaikan bagi memperkemas edisi akan datang.
Zamakhshari merakamkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa atas komitmen yang diberikan sepanjang mesyuarat.
“Setiap keputusan hari ini memberi kesan langsung terhadap hala tuju sukan negeri. Insya-Allah, kita akan terus memperkukuh ekosistem sukan Kelantan secara berperingkat,” katanya.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat tersebut di Bilik Mesyuarat Majlis Sukan Negeri Kelantan, Telipot, Kota Bharu pada Rabu.




0 Comments