Pegawai Imigresen, Kastam dilema diserap AKPS

Oleh Intan Lestari

KUALA LUMPUR: Penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pegawai Jabatan Imigresen, Kastam serta beberapa agensi lain yang terlibat dalam proses penyerapan ke agensi baharu itu.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata keputusan kerajaan mewujudkan AKPS menimbulkan persoalan kerana dianggap tidak mengambil kira implikasi terhadap kedudukan kakitangan awam sedia ada.

Menurut beliau, pegawai-pegawai berpengalaman dari agensi asal dimaklumkan mereka perlu memilih sama ada meneruskan perkhidmatan di bawah AKPS atau menamatkan perkhidmatan sekiranya enggan diserap.

Katanya, keadaan ini menimbulkan keresahan dan tekanan dalam kalangan anggota terlibat, terutama apabila jaminan mengenai laluan kerjaya, kenaikan pangkat dan pengiktirafan perkhidmatan terdahulu masih tidak jelas.

“Penubuhan AKPS sebagai sebuah agensi baharu yang bertanggungjawab mengawal sempadan negara memerlukan pengambilan pegawai-pegawai berpengalaman dari Jabatan Imigresen dan Kastam.

“Namun, isu berbangkit apabila kakitangan yang telah lama berkhidmat di jabatan asal mendakwa status kerjaya mereka di bawah AKPS tidak jelas, terutama dari segi kenaikan pangkat dan pengiktirafan perkhidmatan lama,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Siti Zailah membangkitkan isu itu, namun, jawapan daripada Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), tidak menyentuh kebimbangan pegawai-pegawai terlibat terutama mengenai penyelarasan struktur dan jaminan kerjaya. 

Beliau berkata, kebajikan pegawai Imigresen, Kastam serta beberapa agensi lain yang diserapkan ke dalam AKPS terus menjadi perhatian selepas timbul aduan mengenai kedudukan perjawatan, kenaikan pangkat dan ketidakselarasan struktur antara Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sementara iti Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, berhubung isu kedudukan pegawai yang diserap ke AKPS sedang diberi perhatian KDN.

Beliau menjelaskan AKPS kini berada dalam fasa pengukuhan organisasi memandangkan ia merangkumi jawatan-jawatan strategik berkaitan keselamatan negara. 

Post a Comment

0 Comments