Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 3 November – Pasar Siti Fatimah yang dahulu dikenali dengan nama Pasar Berek 12 memberikan perkhidmatan yang baik kepada para peniaga serta penduduk sekitar Kota Bharu.
Ahli Parlimen Kota Bharu, YB Dato' Sri Takiyuddin Hassan berkata pasar yang telah wujud lebih 40 tahun itu menjadi pusat penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial rakyat, khususnya dari segi peningkatan taraf sara hidup melalui aktiviti jual beli.
“Wujudnya pasar ini telah menjadikan kawasan sekitarnya semakin pesat membangun dengan pembukaan pusat-pusat perniagaan serta kedai makan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian pasar tersebut pada Sabtu.
Majlis perasmian pasar tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Menurut Dato' Takiyudin lagi, pasar berkenaan turut menawarkan pelbagai makanan tradisional Kelantan seperti lompat tikam, tepung boko ubi kayu dan beraneka juadah lain, sekali gus mengekalkan identiti serta warisan tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang menyambut ulang tahun ke-20 sebagai sebuah Bandar Raya Islam.
“Ini merupakan satu keistimewaan kepada Kota Bharu. Dalam banyak pihak berkuasa tempatan di Malaysia, hanya MPKB-BRI yang berani menamakan dirinya sebagai Bandar Raya Islam,” katanya.
Tambah beliau, konsep Bandar Raya Islam berteraskan falsafah Membangun Bersama Islam (MBI) yang mempunyai lima tonggak utama, iaitu keilmuan, kepatuhan, kebersihan, kesejahteraan dan kebajikan.
Sementara itu, Yang Dipertua MPKB-BRI Dato’ Azi Rahimee Mohamed berkata, pembinaan Pasar Siti Fatimah merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Kelantan selaras dengan dasar MBI yang menekankan pembangunan sosioekonomi rakyat secara menyeluruh demi kesejahteraan ummah.
“Pasar baharu ini menjadi bukti komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kemudahan rakyat terus dipertingkatkan seiring dengan keperluan semasa,” katanya ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pra perasmian.
Beliau turut menyeru penduduk setempat, khususnya di kawasan Berek 12, agar menunaikan tanggungjawab membayar cukai dan sentiasa menjaga kebersihan persekitaran bandar.
“Kepada para peniaga pula, saya ingin mengingatkan supaya membayar lesen perniagaan, menjaga kebersihan, mengamalkan sikap toleransi dan bekerjasama sesama peniaga agar suasana berniaga kekal harmoni,” pesannya.




0 Comments