Karnival Cakna Rakyat pupuk semangat kerjasama dalam masyarakat – TMB Kelantan


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 3 November - Penganjuran Karnival Cakna Rakyat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan bertujuan memupuk semangat kebersamaan dan kerjasama dalam kalangan masyarakat, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Menurutnya, nilai-nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat seperti semangat gotong-royong kini semakin terhakis, justeru program sebegini mampu menghidupkan kembali amalan tersebut.

"Apabila kita buat karnival seperti ini, kita dapat hidupkan balik unsur-unsur yang kian terhakis seperti gotong royong dan sebagainya. Inilah satu evolusi yang kita buat melalui Karnival Cakna Rakyat untuk menghidupkan tradisi masyarakat yang mempunyai nilai tinggi dan bertepatan dengan agama."

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Karnival Cakna Rakyat 2025, di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.


Tambahnya, penganjuran karnival tersebut turut menonjolkan kembali identiti orang Melayu dan Islam di Malaysia yang berasaskan adat serta tidak bertentangan dengan ajaran agama.

“Kita lihat ada satu identiti orang Melayu dan Islam di Malaysia ini yang dipanggil adat Melayu yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Contohnya orang dahulu menggunakan kain sarung sebagai tudung kerana pada masa itu belum ada tudung khusus, namun jika memenuhi piawaian syariah, ia boleh dihidupkan kembali,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru masyarakat untuk kembali menghargai dan mengamalkan tradisi berpakaian yang sopan serta menepati syariat Islam, berbanding menonjolkan budaya berpakaian barat yang canggung dengan nilai ketimuran.

“Daripada kita menonjolkan tradisi berpakaian cara barat atau yang tidak sesuai dengan orang timur, lebih baik kita hidupkan kembali tradisi orang tua dahulu yang menarik, manis dipandang serta sopan, dan pada masa yang sama bertepatan dengan kehendak agama,” katanya lagi.


Karnival Cakna Rakyat yang menjadi wadah memperkukuh perpaduan serta nilai kemasyarakatan dalam kalangan rakyat Kelantan itu turut menyediakan penghargaan kepada peserta.

Anugerah Karnival Cakna Rakyat 2025 dimenangi oleh DUN Pantai Irama, Naib juara disandang oleh DUN Bunut Payong dan tempat ketiga di sandang oleh DUN Kadok.

Selaku juara, DUN Pantai Irama membawa pulang wang tunai RM10,000, plak dan sijil penghargaan, manakala DUN Bunut Payong membawa pulang wang tunai RM8,000, plak dan sijil penghargaan dan DUN Kadok menerima wang tunai RM5,000, plak dan sijil penghargaan.

Manakala lima DUN menerima anugerah DUN cemerlang iaitu DUN Pasir Pekan, DUN Kijang, DUN Chetok, DUN Kelaboran dan DUN Kota Lama. DUN cemerlang menerima RM3000 dan Sijil penghargaan.

Turut hadir, Presiden Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), YB Dato' Abdul Rahman Yunus dan Ahli-Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN).




Post a Comment

0 Comments