Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 9 November – Pembeli emas mentah di negeri Kelantan diwajibkan memiliki lesen membeli emas mentah yang dikeluarkan oleh Pejabat Perbendaharaan Negeri bagi memastikan urus niaga dijalankan secara sah dan teratur, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato' Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Menurutnya, perkara itu ditetapkan di bawah Enakmen Urusan Emas Mentah 1991, yang menjadi dasar utama pengawalan aktiviti penjualan emas mentah di negeri ini.
“Setiap pembeli emas mentah perlu memiliki lesen sah yang dikeluarkan oleh Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan. Langkah ini penting bagi memastikan segala urusan jual beli emas mentah dilakukan dengan telus dan mematuhi undang-undang sedia ada."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Balah YB Dato' Abdul Hadi Awang Kechil pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025, di Kompleks Kota Darulnaim, hari ini.
Tambahnya, pemantauan terhadap proses pemprosesan emas mentah turut dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) melalui prosedur operasi standard operating procedur (SOP) yang meliputi semua peringkat, termasuk pengeluaran, pengasingan, pembakaran dan penentuan kualiti jongkong emas.
“Sekiranya terdapat ketidakpatuhan semasa kerja-kerja perlombongan, agensi seperti Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah peruntukan undang-undang masing-masing.
“Mana-mana pihak yang melanggar syarat dalam lesen di bawah Enakmen Mineral 2001 pula boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan,” jelasnya.
Katanya lagi, langkah-langkah kawalan tersebut menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan aktiviti perlombongan dan pemprosesan emas dijalankan secara bertanggungjawab, telus dan mematuhi aspek kelestarian alam sekitar.


0 Comments