Kerajaan Negeri komited kembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 9 November – Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa komited serta berpandangan jauh dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak negeri yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan rakyat Kelantan dan peminat sukan tanah air.

Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad berkata, secara asasnya pengurusan bola sepak negeri berada di bawah Kelantan Football Association (KAFA) yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) serta bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Kerajaan Negeri memahami isu yang sedang dihadapi KAFA dan tidak pernah berdiam diri. Pelbagai langkah serta usaha strategik telah diambil bagi memperkukuh ekosistem bola sepak negeri, sama ada di peringkat dasar, akar umbi mahupun melalui kolaborasi bersama sektor swasta dan akademik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulai Chondong YB Azhar Salleh pada Hari Kedua Persidangan Kali Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 tahun 2025, hari ini.


Menurutnya, beliau telah mengadakan pertemuan bersama Pesuruhjaya Sukan di Bukit Jalil pada 7 Oktober lalu bagi membincangkan secara menyeluruh isu berkaitan status KAFA yang kini digantung oleh FAM.

“Saya telah menerima pandangan serta ulasan daripada PJS dan In Shaa Allah akan ada penyelesaian. Kerajaan Negeri juga telah menghantar surat rasmi kepada pihak berkaitan mengenai isu serta cadangan penyelesaian bagi membantu merungkai kemelut KAFA,” jelasnya.

Dalam masa sama, Kerajaan Negeri melalui Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) turut melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.

Antaranya termasuk penganjuran Liga Elit DUN (LED) yang telah berlangsung sejak lebih 30 tahun. Bagi tahun 2025, sebanyak 458 pasukan daripada 45 DUN menyertai pertandingan ini, melibatkan 10,534 pemain dan 2,290 pegawai berdaftar.

“Liga ini bukan sahaja platform pembangunan bakat belia, malah menjadi mekanisme pemilihan rasmi bagi menentukan wakil pasukan ke Piala Menteri Besar Kelantan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Piala Menteri Besar Kelantan kini sedang berlangsung di peringkat kalah mati dengan penyertaan 48 pasukan melibatkan 45 johan LED setiap DUN, satu pasukan Orang Asli, satu pasukan kaum Siam serta satu pasukan Kessuma YIK.

Selain itu, kerajaan negeri juga menyalurkan sumbangan dan bantuan kepada persatuan serta kelab bola sepak tempatan berdasarkan permohonan dan keperluan semasa termasuk aspek logistik, fasiliti dan insentif penyertaan pertandingan.

YB Zamakhshari berkata, kerajaan turut menyokong pelbagai inisiatif komuniti dan sektor swasta seperti perlawanan Ex-Treble Kelantan, Liga Tumpat dan Liga Siam yang menjadi wadah penyertaan masyarakat dalam sukan bola sepak.

“Kerajaan Negeri juga memberi sokongan kepada kelab tempatan baharu seperti Kelantan The Real Warrior FC yang beraksi di Liga Super, Kelantan Red Warrior FC yang bertanding di Liga A1 dan AZM Rovers FC di Liga A2 ,” katanya.

Tambahnya, kerajaan turut membantu pertumbuhan akademi bola sepak dan kelab-kelab tempatan bagi memperkukuh pembangunan sukan bola sepak negeri secara menyeluruh.

Post a Comment

0 Comments