Oleh: Syamimi Manah
KOTA DARULNAIM, 20 November – Pengasuh memainkan peranan besar sebagai “mak ayah ganti” kepada anak-anak yang dihantar ke taska, kata Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Ilvira Mohd Dasuki.
Katanya, para pengasuh merupakan individu yang paling banyak menghabiskan masa dengan kanak-kanak di taska, sekali gus menjadi sebahagian daripada proses pembentukan awal sahsiah dan perkembangan mereka.
“Pengasuh bukan sekadar menjaga, tetapi mendidik anak-anak ini menjadi manusia. Besar pahala kalau anak-anak ini mengamalkan apa yang kita ajar dari kecil sampai ke besar. Ia menjadi amal jariah dan saham akhirat kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Khas Taska Swasta 2025 di Bilik Gerakan Negeri, hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar slogan ‘Asuh Dari Hati’ diangkat sebagai prinsip kerja dalam kalangan pengasuh, menggambarkan keikhlasan dan komitmen mereka menjaga anak-anak kecil.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah menyalurkan RM2.5 juta sejak 2021 melalui insentif khas tersebut, memberi manfaat kepada 170 taska swasta berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Selain itu, kerajaan negeri juga telah mengadakan Kursus Halimatul Saadiah kepada seramai 458 pengasuh bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran pengasuhan.
Majlis hari ini juga menyaksikan sesi taklimat Dasar Kanak-Kanak Fitrah Negeri Kelantan kepada 41 penguasa taska yang hadir sebagai persediaan memperkukuh standard perkhidmatan jagaan kanak-kanak di negeri ini.



0 Comments