Seminar anjuran bersama Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (IPTG) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) berlangsung di Dewan Bunga Teratai, Kota Darulnaim menampilkan empat pembentang utama: Profesor Dr. Mazlan Bin Ibrahim, Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra; Profesor Emeritus Dato’ Dr. Johari Mat, Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia; Dr. Noor Hisham Md Nawi, Universiti Malaysia Kelantan; dan Dr. Mohd Khairulnazrin Mohd Nasir, Universiti Malaya.
Dato’ Ahmad Yakob menegaskan Tok Guru menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dengan pendekatan yang lembut tetapi tegas, berprinsip tetapi sentiasa penuh kasih sayang.
"Tok Guru boleh berucap fasih di hadapan pembesar negara dalam majlis penuh prestij akademik, namun beliau juga boleh mengajar di sebuah balaisah tua di hujung kampung.
Tok Guru juga boleh bermunaqasyah dengan alim ulama, membelek kitab-kitab yang tebal dalam program ilmiah yang khusus, tetapi dalam masa yang sama beliau mampu duduk bersila di medan ilmu, menyampaikan pelajaran kepada seluruh rakyat tanpa membezakan siapa yang berada di hadapannya"
Tegas Dato Ahmad Yakob, Tok Guru memahami bahawa perpaduan tidak bermaksud menyeragamkan semua manusia, tetapi mengurus perbezaan dengan adab, sekaligus memastikan nilai Islam sebagai agama rahmah terserlah dalam kehidupan bermasyarakat.
"Tok Guru menyantuni semua aliran, menghargai kepelbagaian pendekatan selagi terikat dengan landasan yang sahih. Namun dalam masa yang sama, kebijaksanaan beliau terserlah kerana mampu berinteraksi dengan aliran-aliran lain — bahkan dengan mereka yang bukan Islam — tanpa menjejaskan prinsip dan akidah."
Dato Ahmad Yakob menyimpulkan keseluruhan sikap Tok Guru menzahirkan falsafah penyatuan ummah yang beliau hidupkan bukan melalui slogan, tetapi melalui akhlak, keberanian moral, dan keluasan pandangan.
Dalam majlis ini juga Dato Ahmad Yakob melancarkan sebuah buku bertajuk 'Ayah' yang merupakan tulisan lima wakil daripada keluarga besar Nikmatillah; Nik Din bin Nik Mat, Nik Amalina binti Nik Abdul Aziz, Nik Yusri bin Musa, Nik Hamdi bin Ab Ghani dan Nik Mohd Thalhah bin Ahmed Pakaruldin.
Masing-masing datang daripada generasi dan hubungan yang berbeza dengan Tok Guru. Nik Din ialah adik kepada Tok Guru, manakala Nik Amalina ialah anaknya. Nik Yusri pula merupakan menantu, diikuti oleh Nik Hamdi sebagai anak saudara dan Nik Mohd Thalhah sebagai cucu.


0 Comments