Persidangan Dewan Belia Negeri Kelantan medan membina pemimpin masa hadapan – Dato’ Mohd Amar


Oleh: Syamimi Manah

KOTA DARULNAIM, 17 November – Speaker Dewan Negeri Kelantan YB Dato' Sri Amar D’Raja Dato’ (Dr.) Mohd Amar Abdullah menyifatkan Persidangan Dewan Belia Negeri Kelantan bagi Penggal Pertama Sesi 2025/2026 yang bermula bersidang hari ini sebagai medan untuk membina pemimpin masa hadapan.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari, 17 dan 18 November 2025 itu melibatkan 57 Ahli Dewan Negeri (ADN) Belia Kelantan.

Dalam perasmian tersebut, Dato' Mohd Amar merakamkan tahniah kepada Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS), Kelantan Future Leaders Institute (KFLI) serta Majlis Pembangunan Anak Muda Kelantan (MPAMK) atas kejayaan mengembalikan program Dewan Belia Kelantan yang tertunda sejak 2019 akibat pandemik Covid-19.



Beliau menekankan persidangan tersebut merupakan platform penting untuk membentuk generasi pelapis negeri, selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diperkenalkan sejak 1990.

Menurutnya lagi, ADN Belia perlu membina diri sebagai pemimpin masa depan, bukan sahaja sebagai wakil rakyat tetapi juga di tempat kerja, universiti dan masyarakat secara umum.

Tambahnya, ADN Belia juga perlu memahami bidang kuasa negeri dan persekutuan, agar setiap pandangan dan kritikan disampaikan kepada pihak yang sepatutnya.

Mengambil inspirasi daripada tokoh-tokoh pemuda dalam sejarah Islam seperti Saidina Ali Abi Talib, Asma’ Abu Bakar, Mus’ab Umair dan Usamah Zaid, Dato’ Mohd Amar menyeru ADN Belia agar memahami asas perjuangan Islam.



"ADN Belia perlu ada kefahaman tentang apa yang diperjuangkan. Bila kita terima dengan kefahaman, kita akan gagah untuk memperjuangkan.” katanya.

Beliau turut menekankan cabaran mengekalkan identiti Islam dalam dunia penuh pengaruh liberalisme, sambil memetik kata-kata Saidina Ali, "Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pemuda hari ini.”

Sementara itu, Timbalan Pengarah U-BeS Mohd Firdaus Mohamed Nawi, dalam ucapan alu-aluannya mengingatkan bahawa bakal pemimpin muda wajib menjaga akhlak ketika berucap dan menghormati pandangan orang lain.

Beliau menegaskan bahawa setiap perbincangan perlu berpijak di bumi nyata dan berasaskan fakta, sambil menyifatkan persidangan ini sebagai medan berfikir untuk kepentingan ummah dan negara.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Belia Negeri Kelantan YB Ahmad Zakhran Mat Noor dan Timbalan Pengarah Program ADN Belia Kelantan Mohd Aiman Saipullah.

Post a Comment

0 Comments