Persidangan Ketiga DUN Kelantan: RUU Enakmen Keluarga Islam 2025 jadi tumpuan utama


Oleh: Asri Hamat

KOTA DARULNAIM, 5 November - Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam 2025 yang bakal menggantikan undang-undang sedia ada menjadi tumpuan utama Persidangan Kali Ketiga Dewan Negeri Kelantan (DUN) yang akan berlangsung selama lima hari bermula Khamis ini, 6 November, serta bersambung pada 9 hingga 12 November.

Speaker DUN Kelantan YB Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata RUU berkenaan akan dibentangkan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud, pada hari keempat persidangan.

“Ini merupakan RUU baharu, bukan pindaan. Ia merangkumi hal ehwal keluarga Islam seperti perkahwinan, perceraian, tanggungjawab serta peraturan berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah,” katanya ketika ditemui media di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya, penggubalan enakmen baharu itu dibuat dengan mengambil kira perkembangan semasa dalam masyarakat Islam serta penambahbaikan dari segi perundangan dan pelaksanaan.

“RUU ini turut memperkemas aspek kesalahan dan hukuman supaya lebih relevan dengan realiti hari ini. Had hukuman juga meningkat berbanding sebelumnya bagi memastikan pelaksanaan undang-undang Islam lebih menyeluruh dan berkesan,” jelasnya.

Selain pembentangan RUU berkenaan, persidangan kali ini turut menyaksikan pembentangan Belanjawan Negeri 2026 oleh Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, pada hari pertama sidang, sebelum dewan ditangguhkan dua hari bagi memberi laluan kepada cuti hujung minggu (Jumaat dan Sabtu).

“Persidangan akan bersambung semula pada Ahad bagi sesi perbahasan oleh Ahli-Ahli Dewan Negeri manakala pada Isnin kerajaan akan menjawab dan menggulung perbahasan,” jelasnya.

Post a Comment

0 Comments