Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Parlimen Malaysia
Kredit foto: Parlimen Malaysia
KUALA LUMPUR, 5 November – Kerajaan Persekutuan digesa mempercepatkan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) tanpa sebarang penelitian semula demi kepentingan rakyat Kelantan.
Gesaan itu disuarakan oleh Senator Wan Martina Wan Yusof yang menegaskan bahawa projek berkenaan perlu dipergiat dan disegerakan agar kembali berada di landasan yang betul demi kebajikan rakyat.
“Projek LPT3 mesti disegerakan demi kepentingan dan kebajikan rakyat Kelantan serta harus menjadi keutamaan tertinggi kerajaan.
"Pembinaan lebuh raya ini akan memberi manfaat besar kepada semua lapisan masyarakat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kerajaan pusat perlu memberikan penjelasan yang jelas dan telus mengenai status terkini projek tersebut agar rakyat mengetahui perkembangan sebenar.
Dr. Wan Martina turut menegaskan bahawa sebarang penelitian semula yang berlarutan hanya akan menambah beban dan kekecewaan rakyat yang sekian lama menantikan kemudahan berkenaan bagi memendekkan jarak perjalanan, mengurangkan masa di jalan raya serta merangsang ekonomi tempatan.
“Projek LPT3 bukan sekadar projek infrastruktur; ia adalah nadi kehidupan, pemangkin ekonomi dan jalur penyelamat bagi ratusan ribu rakyat Kelantan,” katanya.
Sebagai wakil rakyat Kelantan di Dewan Negara, beliau turut berikrar untuk membawa isu tersebut ke sidang Dewan Negara akan datang, bagi memastikan suara rakyat negeri itu didengari di peringkat tertinggi.
“Saya akan mendesak agar kerajaan memberikan komitmen nyata dan jawapan yang jelas supaya projek ini dapat dilaksanakan tanpa sebarang kelewatan,” jelasnya.
Wan Martina juga mengakui terdapat perkara teknikal yang perlu diselesaikan, namun menegaskan bahawa penyelesaian itu harus berpaksikan keazaman politik bagi memastikan projek tidak terus tergantung.
“Rakyat Kelantan telah menunggu terlalu lama. Jangan biarkan harapan mereka kembali pudar.
"Saya menjulang hasrat dan suara rakyat Kelantan agar Projek LPT3 ini diteruskan dan disegerakan demi kemakmuran serta kesejahteraan bersama,” ujarnya.

0 Comments