Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 10 November – Sambutan hari kebesaran Islam anjuran Kerajaan Negeri Kelantan pada setiap tahun memberi kesan besar terhadap pembinaan jati diri umat serta pengukuhan syiar Islam dalam masyarakat.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata penganjuran program sambutan tersebut berperanan penting dalam memperkukuh syiar Islam serta menyemarakkan rasa cinta terhadap syariat.
“Dari sudut dakwah dan tarbiah, pelaksanaan program ini memberi peluang untuk menyebarkan ilmu, kefahaman serta penghayatan ajaran Islam kepada seluruh rakyat Kelantan."
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Mengkebang, YB Zubir Abu Bakar, pada Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan), Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Kelima Belas Tahun 2025, di Kompleks Kota Darulnaim, hari ketiga, hari ini.
Menurutnya, hasil pelaksanaan program dakwah seperti itu dapat dilihat melalui suasana kehidupan masyarakat Islam di Kelantan yang berbeza dengan negeri-negeri lain.
“Alhamdulillah, selepas 35 tahun Kelantan ditadbir berasaskan dasar Membangun Bersama Islam, kita dapat lihat perubahan ketara dalam masyarakat. Contohnya, iklan di papan iklan (billboard) di negeri ini tertakluk kepada garis panduan syariah. Contohnya, iklan syampu tidak boleh memaparkan rambut wanita, berbeza dengan tempat lain,” ujarnya.
Tambahnya, masyarakat Kelantan kini lebih peka terhadap perkara yang bercanggah dengan syariat, termasuk dalam menghiasi rumah dengan gambar khat berbanding gambar binatang atau patung.
“Ini membuktikan Kelantan mempunyai garis panduan dan kesedaran hasil daripada program-program sambutan hari kebesaran Islam yang dilaksanakan kerajaan negeri,” katanya.
Dari sudut tarbiah, jelas beliau, program sebegini mampu mendidik jiwa masyarakat agar membina kekuatan rohani dan semangat mempertahankan Islam.
Sebagai contoh, melalui program Hubbun Nabi SAW, rakyat diberi pendedahan tentang kepentingan menghayati sunnah Rasulullah SAW dan melaksanakan segala perintah baginda dalam kehidupan seharian.
"Program seperti ini membangkitkan semangat rakyat untuk menjadi umat yang mengutamakan pelaksanaan syariat dalam kehidupan,” katanya.
Mengimbas sejarah, YB Mohd Asri berkata ketika pemerintahan Sultan Salahuddin al-Ayubi, amalan memperingati kebesaran Islam seperti Hubbun Nabi SAW turut dihidupkan, dan dua tahun selepas itu umat Islam berjaya membebaskan Baitulmaqdis.
"Jadi, setiap sambutan hari kebesaran Islam seperti Hari Wukuf, Hari Mabit dan lain-lain mempunyai kesan mendalam dalam mendidik umat supaya bersatu padu serta mengekalkan persefahaman antara satu sama lain,” jelasnya.
Katanya lagi, kerajaan negeri akan terus menjadikan sambutan hari kebesaran Islam sebagai wadah dakwah dan tarbiah dalam memperkukuh pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam demi kesejahteraan rakyat dan kemuliaan agama.


0 Comments