Oleh: Asyura Muhamad
KOTA DARULNAIM, 10 November – Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk membantu para nelayan, petani dan peniaga-peniaga kecil dengan menyediakan pelbagai sokongan dan bantuan kepada golongan mereka.
Menjawab soalan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Pantai Irama YB Mohd Huzaimy Che Husin, Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail memaklumkan bahawa Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok telah melancarkan Pelan Strategik 2025–2030 pada 14 Ogos lalu.
Menurutnya, pelan tersebut merangkumi beberapa teras strategik, termasuk pembangunan zon pelancongan berasaskan potensi produk tempatan.
“Di bawah teras kedua, antara usaha yang ditekankan ialah memacu pembangunan seimbang dan mampan melalui pengukuhan pelancongan komuniti yang mana nelayan digalakkan menghasilkan produk sampingan seperti keropok lekor, ikan kering, belacan serta pelbagai hasil laut yang berpotensi untuk meningkatkan pendapatan mereka.”
Demikian menurut YB Dato’ Tuan Mohd Saripudin di Persidangan Kali Yang Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Negeri Kelantan Yang Ke-15 Tahun 2025, hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa golongan petani dan peniaga kecil tidak terkecuali daripada menerima perhatian kerajaan. Selain bantuan dari Jabatan Perikanan Negeri Kelantan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), sokongan turut disalurkan melalui Exco Usahawan, Exco Belia, Exco Wanita, serta program jaringan pasaran desa di bawah portfolio pertanian dan kesemuanya diselaraskan melalui Majlis Pembangunan Usahawan Kelantan (MPUK).
Sementara itu, menurut beliau juga peniaga kecil yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) boleh memohon pelbagai bentuk bantuan termasuk input pertanian, input perikanan, mesin penghasilan produk, kemudahan pembungkusan dan pelabelan.
Bagi nelayan di Bachok dan Pasir Puteh yang turut mengusahakan pertanian, terutama pada musim Monsun Timur Laut, kerajaan negeri menyediakan sokongan tambahan melalui program Pembangunan Industri Buah-buahan, sayur-sayuran, Usahawan Tani serta pembangunan tanah terbiar.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha menjaga kebajikan dan keperluan petani, peniaga, nelayan serta pesawah, termasuk menyediakan bantuan input yang dapat meningkatkan kualiti dan nilai produk yang dihasilkan.


0 Comments