Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: YB Haji Mohd Huzaimy Che Hussin
BACHOK, 22 November – Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pertama yang dibuka di Bachok susulan peningkatan paras air ialah PPS SK Pauh Sembilan dan mula beroperasi pada semalam.
Pengerusi Khidmat Malaysia Bachok YB Haji Mohd Huzaimy Che Hussin hadir meninjau keadaan mangsa bagi memastikan kebajikan mereka terjamin.
Menurutnya, setakat tengahari hari ini, sebanyak 62 mangsa dan 16 keluarga ditempatkan.
"Saya melawat PPS pertama di SK Pauh Sembilan yang menempatkan 62 mangsa dan 16 keluarga. Mangsa yang ditempatkan terdiri daripada penduduk kampung sekitar Kampung Budi,” katanya di laman rasmi, hari ini.
Dalam tinjauan itu, beliau turut bertanya khabar seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang mengalami kecederaan di tangan sebelum ke PPS.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus mendapatkan laporan perkembangan semasa di PPS dan memastikan bantuan keperluan asas disalurkan dengan teratur, meliputi makanan, kebersihan, keperluan harian serta sokongan kepada keluarga yang terjejas.
"Terima kasih kepada pihak sekolah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kelantan (APM) yang sentiasa memberikan kerjasama dan membantu menguruskan PPS dengan baik,” ujarnya.



0 Comments