Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 22 November – Usahawan merupakan nadi yang menggerakkan pembangunan ekonomi negeri Kelantan, kata Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Beliau berkata, usaha gigih dan komitmen para usahawan telah membawa impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negeri, sekali gus memastikan Kelantan terus berdaya saing serta mampu memperkukuh kemakmuran rakyat.
“Pada kesempatan ini saya merakamkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada semua usahawan.
“Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa komited memperkukuh ekosistem keusahawanan dan merangsang pertumbuhan ekonomi agar setanding dengan negeri-negeri lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Malam Gala Usahawan Kelantan 2025 di sebuah hotel di sini malam Sabtu.
Menurut YAB Menteri Besar lagi, para usahawan adalah duta negeri yang mencerminkan keberanian, kegigihan dan daya tahan. Kejayaan mereka bukan sahaja mengharumkan nama Kelantan, malah membuka peluang pekerjaan serta menjana pendapatan baharu kepada rakyat.
“Tahniah kepada usahawan Kelantan yang telah membawa nama negeri ke pentas antarabangsa termasuk penyertaan di Ekspo 2025 Osaka Jepun serta platform dagang SME Venture@ASEAN 2025 sempena ASEAN Summit yang berlangsung di negara ini," katanya.
Tambah beliau, usahawan merupakan aset penting negeri dan perlu terus dibangunkan. Keupayaan mereka menembusi pasaran luar negara membuktikan produk tempatan berdaya saing dan berkualiti global, seterusnya membuka peluang ke pasaran Asia, Timur Tengah dan Asia Tengah dengan sokongan kerajaan negeri.
Justeru, katanya, beberapa aspek penambahbaikan diberi perhatian termasuk penyelarasan dasar keusahawanan melalui Majlis Pembangunan Usahawan Kelantan, selain memastikan bantuan kepada usahawan yang berimpak tinggi, fokus dan bukan sekadar bantuan sekali beri.
“Kita mahu melihat hasil yang berterusan dan bermanfaat. Pembangunan usahawan juga perlu menekankan digitalisasi, latihan perniagaan, akses pasaran serta pengurusan kewangan yang berdisiplin untuk meningkatkan kompetensi pengurusan secara lebih sistematik,” ujarnya.
Kerajaan juga mahu mewujudkan Sistem Tingkap Tunggal, iaitu platform digital pusat yang memudahkan urusan dengan pelbagai agensi kerajaan.
“Sistem ini akan memudahkan usahawan mengakses maklumat, bimbingan dan perkhidmatan tanpa kekangan birokrasi,” jelasnya.
YAB Menteri Besar turut berpesan agar usahawan sentiasa meningkatkan takwa kepada Allah SWT dalam setiap urusan perniagaan.
“Hujung jatuh segala yang dilakukan adalah berkaitan dosa dan pahala. Dari sinilah lahir keberkatan rezeki,” katanya.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada usahawan, penyerahan mock cheque kepada syarikat yang menyertai SME Venture@ASEAN 2025, serta penghargaan kepada peserta Ekspo 2025 Osaka dan penerima terawal Skim Mikro Kredit Usahawan Negeri Kelantan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, YB Dato' Dr. Mohamed Fadzli Hassan; Setiausaha Kerajaan Negeri, YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr. Tengku Mohamed Faziharudean Al-Haj Tengku Feissal; Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Dato' Idham Abdul Ghani; Pegawai Kewangan Negeri, YB Dato' Rosnazli Amin; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan, YB Mejar (B) Dato' Md Anizam Ab Rahman; serta Timbalan Exco, YB Nasrif Daud @ Yatimi.




0 Comments