Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media TMB
Kredit foto: Unit Media TMB
KOTA DARULNAIM, 18 November – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmen untuk memperkukuh tadbir urus tanah secara teratur, inklusif dan berintegriti bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelestarian pembangunan negeri.
Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata pengurusan tanah merupakan teras penting yang memberi kesan langsung kepada struktur ekonomi, kebajikan rakyat dan kelangsungan ekosistem, justeru perlu diurus dengan penuh tanggungjawab.
Beliau menyatakan demikian selepas mewakili Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dalam Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-82 yang dipengerusikan YAB Perdana Menteri dan dihadiri wakil Kerajaan Persekutuan serta semua kerajaan negeri.
Menurutnya, MTN kekal sebagai platform nasional yang penting untuk membincangkan dasar pengurusan, pembangunan dan kawal selia tanah merangkumi sektor perlombongan, pertanian dan perhutanan, selain menyelaraskan aspek perundangan yang berkaitan.
“Mesyuarat turut memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan isu berbangkit berkaitan tanah yang sering menjadi punca kelewatan pelaksanaan projek pembangunan.
“Kerajaan Negeri Kelantan menyokong usaha memperkemas proses ini agar kelulusan dapat dipercepat tanpa menjejaskan ketetapan undang-undang serta prinsip menghormati bidang kuasa negeri,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.
Dato’ Dr. Mohamed Fadzli juga memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan bersetuju secara dasar terhadap cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134), khususnya berkaitan pengurusan tanah demi menjamin kepentingan komuniti Orang Asli.
“Kerajaan Negeri Kelantan mengikuti perkembangan ini dengan teliti bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan realiti setempat dan kepentingan rakyat negeri,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa Kelantan kekal berpegang pada prinsip pembangunan berdaya tahan, berpandangan jauh, menghormati undang-undang, memelihara kelestarian serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
“Itulah kompas yang memandu setiap keputusan negeri,” tegasnya.


0 Comments