Tudung labuh tidak halang bersukan

 

Oleh Intan Lestari

KOTA BHARU: Siapa kata golongan muslimat yang berjubah dan bertudung labuh tidak mampu aktif dalam acara sukan.

Sekarang aktiviti sukan bukan lagi perkara pelik kerana ia disertai semua golongan wanita termasuk mereka yang bertudung labuh.

Ia dibuktikan program Nisa' Games 2025 yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Kelantan Sabtu lalu disertai ramai golongan wanita muda.

Pelbagai acara diadakan termasuk bbidah, lawn bowls, bola jaring dan memanah yang disertai Nisa’ dari seluruh Kelantan.

Ketua Muslimat PAS Kelantan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, program Nisa' Games menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyertaan dan kemajuan dalam aktiviti sukan pada masa akan datang.

Kata beliau, aktiviti sukan mampu membina keyakinan diri dan potensi  wanita muda dalam kehidupan seharian.

"Semoga pengalaman melalui aktiviti sukan akan menjadi pemangkin untuk lebih ramai golongan wanita muda aktif dalam bidang sukan.

"Nisa' Games bukan sahaja pertandingan, sebaliknya ia memperlihatkan nilai ukhwah dan semangat kesukanan peserta dan penganjur program ini," katanya ketika merasmikan penutup program berkenaan.

Nisa' Games bermula pagi sehingga jam 4.30 petang turut diadakan cabutan bertuah.

Siti Zailah yang juga anggota parlimen Rantau Panjang berkata, program Nisa’ Games berlangsung dengan suasana meriah yang mempamerkan bakat wanita-wanita muda.

Menurutnya juga setiap peserta menunjukkan disiplin yang tinggi dan saling bekerjasama dalam setiap acara yang dipertandingkan.


 

 

Post a Comment

0 Comments