100 petani DUN Limbongan terima benih kelapa SGG


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media YB Asilah

KOTA DARULNAIM, 16 Disember – Sebanyak 100 petani di DUN Limbongan menerima sumbangan benih kelapa Sungai Gulang-Gulang (SGG) menerusi Program Penyampaian Anak Kelapa SGG sempena inisiatif “Tane Nyior Al Falah”.

Program berkenaan berlangsung di Dewan Serbaguna Pusat Khidmat DUN Limbongan, Pasir Puteh, pada Ahad.

Setiap penerima menerima dua biji benih kelapa SGG sebagai langkah memperkukuh sektor pertanian dan menambah sumber pendapatan rakyat luar bandar.


Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Limbongan, YB Nor Asilah Mohd Zin yang menegaskan komitmen berterusan pihaknya dalam menyokong usaha pemerkasaan pertanian komuniti.

Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan membantu meningkatkan ekonomi rakyat, malah menggalakkan penglibatan masyarakat dalam pertanian secara mampan dan berjangka panjang.

“Tahniah kepada semua penerima, semoga dua tahun lagi, kita dapat minum air nyior manis,” katanya menerusi laman rasmi, pada Ahad.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dan Jabatan Pertanian Negeri Kelantan, selaras dengan usaha memperluas tanaman kelapa berkualiti tinggi sebagai salah satu sumber ekonomi alternatif kepada petani setempat.



Post a Comment

0 Comments