Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 16 Disember – Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Dato’ Rohani Ibrahim bersama Majlis Perundingan Wanita Parlimen (MPWP) Kota Bharu menyantuni para peniaga di tiga pasar utama sekitar Parlimen Kota Bharu secara dekat bagi meninjau kebajikan mereka serta memperkukuh hubungan silaturahim dengan komuniti peniaga tempatan.
Lawatan berkenaan melibatkan Pasar Wakaf Che Yeh, Pasar Kubang Pasu dan Pasar Siti Fatimah Berek 12, yang menjadi nadi ekonomi harian masyarakat setempat, khususnya golongan peniaga kecil dan sederhana.
YB Dato’ Rohani berkata, kunjungan tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap kegigihan para peniaga yang berusaha mencari rezeki halal demi kelangsungan keluarga.
“Kehadiran kami diharap dapat memperkukuhkan lagi hubungan silaturahim yang terjalin, selain memastikan kebajikan peniaga, khususnya golongan wanita, sentiasa diberi perhatian.
“Mereka inilah nadi ekonomi setempat yang terus cekal walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam mencari rezeki,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.
Beliau turut mendoakan agar setiap titik peluh yang dicurahkan oleh para peniaga menjadi asbab keberkatan rezeki, selaras dengan sabda Rasulullah SAW bahawa sebaik-baik rezeki adalah daripada usaha tangan sendiri.
Dalam pada itu, YB Dato’ Rohani merakamkan penghargaan atas sambutan mesra yang diberikan oleh para peniaga di ketiga-tiga pasar berkenaan dan berharap pendekatan turun padang sebegini dapat diteruskan bagi mendekati rakyat serta memahami keperluan sebenar mereka di peringkat akar umbi.
“Moga Allah SWT memberkati rezeki para peniaga dan mempermudahkan segala urusan kita bersama,” katanya.






0 Comments