180 siswa DUN Chempaka terima sumbangan IPT 2025


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media YB Chempaka

KOTA BHARU, 29 Disember – Sebanyak 180 siswa Institut Pengajian Tinggi (IPT) dari DUN Chempaka menerima Sumbangan Pengajian Tinggi 2025 dalam satu majlis penyampaian di Kompleks Purnama, Pengkalan Chepa, semalam.

Setiap penerima menerima sumbangan tunai selain jambangan bunga sebagai tanda penghargaan dan sokongan moral kepada para pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di IPT.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka YB Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, setiap peluang untuk melanjutkan pelajaran perlu direbut tanpa rasa ragu kerana pendidikan merupakan kunci utama pembinaan masa depan.

“Setiap peluang untuk belajar mesti direbut. Kalau ada ruang untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi, usahakanlah,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Chempaka, YB Nik Bahrum Nik Abdullah

Menurutnya, para pelajar tidak seharusnya terlalu lama terhenti memikirkan kekangan kewangan sehingga mengorbankan impian menyambung pengajian.

“Jangan terlalu lama terhenti memikirkan soal sumber kewangan. Yang paling utama ialah kemahuan untuk belajar. Bila azam itu jelas, insya-Allah jalan rezeki akan dibuka dari arah yang kita sangka dan yang kita tidak sangka,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa daripada hampir 180 penerima sumbangan, sebahagian hadir sendiri manakala ramai juga diwakili oleh ibu bapa berikutan sedang mengikuti pengajian di kampus masing-masing.

“Saya bersama hampir 180 penerima Sumbangan Pengajian Tinggi 2025. Ada yang hadir sendiri dan ramai juga diwakili ibu bapa kerana sedang menuntut di kampus,” katanya.


YB Nik Bahrum berharap sumbangan yang disalurkan itu dapat meringankan beban kewangan dan menjadi pencetus semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

“Mudah-mudahan sumbangan ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi menjadi pemicu semangat untuk terus melangkah, belajar dan membina masa depan yang lebih baik,” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments