Oleh:Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 30 Disember - Kerajaan Negeri Kelantan merancang untuk mewujudkan sebuah Muzium Pertanian yang dijangka mula beroperasi pada Jun 2026, sekali gus merealisasikan impian lama untuk memelihara dan memperkenalkan warisan pertanian negeri itu kepada generasi akan datang.
Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Kelantan yang juga Exco Kerajaan Negeri YB Zamakhshari Muhamad berkata muzium berkenaan akan ditempatkan di bangunan lama Majlis Daerah Tumpat yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan.
Menurutnya, lawatan tapak telah diadakan bersama Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Kelantan Norhalis Mohamed Noor pada Isnin bagi meninjau keadaan fizikal bangunan serta kesesuaian ruang yang boleh dibangunkan.
“Dah lama kita mengimpikan penubuhan Muzium Pertanian di Kelantan. Insya Allah, tahun hadapan muzium ini akan dibuka untuk rakyat negeri ini,” katanya menerusi media sosial pada Isnin.
Tambahnya, muzium berkenaan akan memaparkan sejarah dan warisan pertanian Kelantan serta sebagai pusat pendidikan dan interaksi kepada masyarakat.
Antara cadangan yang dibincangkan ialah penyediaan ruang petting zoo yang bersesuaian, khususnya bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak dan keluarga terhadap dunia pertanian serta ternakan.
“Pertanian merupakan asas kehidupan rakyat Kelantan sejak dahulu. Banyak sejarah, peralatan tradisional, kaedah dan kisah para petani yang wajar direkod, dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi akan datang,” katanya.
Ujar YB Zamakhshari lagi, pelaksanaan projek Muzium Pertanian Kelantan berkenaan akan digerakkan secara berperingkat bagi memastikan ia menjadi sebuah ruang ilmu, warisan dan tarikan baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta pelancong.
“Muzium ini diharap dapat menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangan sektor pertanian dalam pembangunan negeri Kelantan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, YB Zamakhshari berhasrat untuk menghidupkan kembali Muzium Wau di Pantai Sri Tujuh Tumpat, dalam usaha untuk memartabatkan seni dan budaya negeri agar apa yang pernah mengisi langit suatu ketika dahulu, terus kekal dalam ingatan dan jati diri anak Kelantan.




0 Comments