700 pelajar DUN Tanjung Mas terima sumbangan baucer peralatan persekolahan 2026


Oleh: Asri Hamat

KOTA BHARU, 29 Disember - Sebanyak 700 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Mas menerima sumbangan baucer peralatan persekolahan bagi sesi 2026 daripada Kerajaan Negeri Kelantan membabitkan peruntukan keseluruhan RM70,000.

Majlis penyampaian sumbangan tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Mas YB Dato’ Rohani Ibrahim di Dewan Terbuka Maahad Muhammadi Lelaki, di sini, hari ini.

Dato’ Rohani yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan berharap sumbangan berkenaan dapat membantu meringankan beban ibu bapa terutama pada awal musim persekolahan.

“Alhamdulillah, hari ini kita dapat berjumpa dan menyampaikan sedikit sumbangan untuk membeli peralatan persekolahan bagi sesi 2026.

“Sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban ibu bapa dalam membuat persediaan awal persekolahan anak-anak,” katanya ketika berucap merasmikan majlis.


Menurutnya, setiap DUN di Kelantan diperuntukkan sebanyak RM35,000 bagi tujuan bantuan persekolahan dan kaedah pengagihan adalah tertakluk kepada keputusan pihak DUN masing-masing.

“Setiap DUN menerima peruntukan RM35,000. Selebihnya bergantung kepada usaha dan inisiatif wakil rakyat untuk menambah peruntukan. Kaedah pengagihan pula ditentukan oleh pihak DUN,” jelasnya.

Beliau turut menasihat penerima agar menggunakan sumbangan yang diterima secara berhemah.

Dalam perkembangan sama, Dato’ Rohani memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyediakan lebih 30 skim bantuan kebajikan untuk rakyat Kelantan.


“Di bawah portfolio kebajikan, sebanyak RM7.5 juta diperuntukkan untuk diagihkan kepada golongan armalah, anak yatim, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan lain-lain penerima yang layak. Semua bantuan ini diagihkan secara adil dan telus,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan ibu bapa agar tidak mengabaikan tanggungjawab mendidik anak-anak walaupun mereka telah meningkat dewasa.

“Sebagai ibu bapa, jangan anggap tanggungjawab sudah selesai apabila anak sudah besar. Amanah mendidik anak-anak tidak terlepas sampai bila-bila.

“Ambillah Islam sebagai panduan dalam mendidik anak-anak, termasuk memberikan didikan agama asas seperti memahami dosa dan pahala serta mendirikan solat,” ujarnya.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan sesi pencerahan ilmu yang disampaikan oleh penceramah undangan Ustazah Asmak Husin. Untuk memudahkan penerima menebus baucer yang diterima, mereka boleh menebusnya di kedai yang tertera di baucer sumbangan tersebut.

Post a Comment

0 Comments