BANGKOK: Rombongan Arkib PAS Kelantan menempuh perjalanan dua hari sebelum tiba di kota metropolitan Bangkok malam ini bagi menyusuri sejarah awal kedatangan rakyat Kelantan ke ibu negara Thailand beratus tahun dahulu.
Bertolak dari Sungai Golok pada jam 8.30 pagi Khamis selepas melepasi pemeriksaan Imigresen di sempadan Rantau Panjang-Sungai Golok. Ketika melintasi pemeriksaan Imigresen jam 7 pagi sudah ramai rakyat Malaysia yang beratur panjang di Pusat Imigresen Thailand.
Kesempatan cuti sempena perayaan Krismas diambil peluang rakyat Malaysia melancong dan menziarahi saudara mara di Thailand.
Perjalanan kira-kira 1,200 km dengan menaiki van, menjejaki wilayah selatan, tengah dan Bangkok. Rombongan berkenaan diketuai ahli jawatankuasa Arkib PAS Kelantan Mohd Yasin Yusof.
Sertai sama termasuk Samsuddin Mat Daud, pemandu pelancong Kelantan Abu Khalifah, bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru Kuala Lipis Abdul Hadi Mohamad dan editor laman berita aruslebir.com Mazlan Jusoh.
Perjalanan hari pertama merentasi wilayah Narathiwat, Yala, Pattani, Songkhla, Trang, Phathalung, Nakhin Si Thammarat dan berakhir di Surat Thani.
Rombongan menaiki van khas dipandu ahli majlis perbandaran Yala, Azman menempuh perjalanan lebih 600 km, sampai di Surat Thani jam 9 malam. Bagi menghilangkan letih, rombongan bermalam di sebuah hotel berhampiran laluan utama ke Bangkok.
Sepanjang perjalanan hari pertama rombongan tidak menghadapi masalah untuk mendapatkan makanan halal kerana masih banyak restoran milik orang Islam yang terdapat di laluan tersebut.
Bagaimanapun situasi berbeza pada perjalanan hari kedua. Rombongan bertolak dari hotel jam 5 pagi waktu tempatan untuk menunaikan solat Subuh di sebuah masjid berhampiran di Surat Thani, namun masjid tersebut masih berkunci.
Biarpun masjid agak besar dan cantek, namun belum kelihatan petugas masjid datang ketika menjelang waktu Subuh. Dan disebabkan masjid tersebut belum dibuka rombongan terpaksa solat di surau kecil di sebelah restoran Sukri di kawasan berkenaan.
Penduduk Islam di Surat Thani, Nakhon Si Thammarat dan Phatthalung merupakan golongan minoriti. Kelibat mereka agak sukar ditemui sepanjang perjalanan.
Perjalanan hari kedua rombongan mengambil kesempatan bersarapan di Chumphon, di hentian bas ekspres. Di situ terdapat deretan kedai-kedai makan milik penduduk Muslim, namun mereka hanya boleh berbahasa Thai.
Ketika singgah di situ, kami menemui konvoi pemuda dari Malaysia yang menaiki enam motosikal turut singgah bersarapan di lokasi yang sama. Mereka dalam perjalanan ke utara Thailand.
Turut ditemui seorang pemuda yang memandu seorang diri dari Shah Alam, Selangor ke Bangkok. Beliau memberitahu sering datang ke Bangkok bagi membeli ban urut keluaran pengusaha Muslim untuk dijual di Malaysia.
Perjalanan hari kedua melewati wilayah Chumphon, kemudian menyusuri Khiri Khan. Dan ketika singgah untuk makan tengahari di sebuah kedai Muslim di tepi jalan selepas menunaikan Jumaat kami menemui empat kenderaan dari Malaysia.
Mereka bercuti di ibu negara Thailand dan menginap di pusat peranginan di utara Bangkok sempena cuti akhir penggal persekolahan di Malaysia yang bermula sejak seminggu lepas.
Rombongan Arkib PAS Kelantan meneruskan perjalanan memasuki Phetchaburi, Ratchaburi, Samut Sakhon, Nonthaburi dan tiba di Bangkok kira-kira jam 8 malam waktu tempatan.
Kedatangan rombongan Arkib PAS Kelantan bertujuan menjejaki kawasan bersejarah di Bangkok yang didiami penduduk Muslim termasuk yang berassl dari Kelantan dan wilayah selatan Thailand.






0 Comments