Orang Kelantan teroka penempatan di Bangkok

 

Oleh Aslani M |

BANGKOK: Biarpun terletak lebih 1,200 kilometer dari sini, namun tidak ramai mengetahui ada penduduk Kelantan merantau sehingga ke Bangkok beratus tahun lampau.

Antaranya nenek kepada imam 2 masjid Pusat Islam Thailand di Bangkok Ustaz Ariffin berasal dari Kelantan, manakala datuknya berhijrah dari India.

Datuknya menetap di Chabang Tiga dan Rengkong sebelum berpindah ke Bangkok. Rengkong sekarang merupakan pusat latihan Muay Thai yang terkenal di Bangkok.

Di situ terdapat Yokkao Training Centre (Sukhumvit Soi 16), Khongsittha Muay Thai dan Mongkon Academy.

Ustaz Arifin merupakan generasi kelima daripada perkahwinan nenek dan datuknya. Sekarang beliau tinggal di penempatan dikenali sebagai Kalantan.

Tentunya ramai pelik bagaimana seorang nenak dari Kelantan boleh datang sehingga ke Bangkok beratus tahun lalu.

Rupa-rupanya ramai penduduk dari Kelantan yang datang ke Bangkok dibayar upah oleh Raja Siam bagi menggali terusan di tengah-tengah kota Bangkok.

Terusan tersebut digali menggunakan tenaga empat kerat yang mengambil masa berpuluh tahun untuk disiapkan. Sehingga sekarang terdapat 14 terusan yang dibina menggunakan tenaga manusia.

Ketika itu belum lagi ada lagi jentera bagi menggali tanah. Raja Siam mendapat khidmat rakyat dari luar Thailand untuk mengorek terusan bagi mengairi air dari Sungai Chao Phraya ke kawasan penempatan penduduk.

Sungai Chao Phraya merupakan sungai terpanjang di Thailand yang mengalir dari utara melalui Kota Metropolitan Bangkok sehingga ke Teluk Thailand.

Sungai tersebut digunakan sebagai sumber bekalan air bagi aktiviti pertanian, pengangkutan dan kegunaan harian penduduk.

“Penduduk yang berasal dari Kelantan dibawa ke Bangkok untuk bekerja menggali terusan. Mereka datang bersama penduduk dari Pattani.

“Selain itu ada juga penduduk dari China dan Loas yang diupah bagi menggalikan terusan bagi kegunaan aktiviti pertanian,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ramai penduduk dari luar Siam dibawa ke Bangkok untuk menggali terusan memandangkan ketika itu belum ada jentera berat bagi melaksanakan tugas tersebut.

Guna cangkul

Kerja-kerja menggali tanah menggunakan cangkul dan pelbagai peralatan lain sehingga berjaya membentuk saliran yang panjang.

Ariffin memberitahu datuknya dibayar upah menggalikan terusan dengan kadar 400 baht sehari oleh Raja Siam.

Kata beliau orang bukan Islam turut diupah menggalikan terusan tersebut termasuk dibawa masuk dari Vietnam, China dan Loas.

Maka bagi menghargai jasa penduduk terbabit berkhidmat menggalikan terusan, kerajaan Siam menamakan saliran tersebut dengan nama Kalantan di satu lokasi di tengah bandar.

Terusan tersebut disambung dengan Sungai Chao Phraya untuk membolehkan air dialir dari sungai melalui penempatan penduduk bagi tujuan mengairi kawasan pertanian.

Hasil kebijakan Raja Siam tersebut membolehkan banyak kawasan di luar kota Bangkok dijadikan sawah padi yang terbentang luas mata memandang.

Malah, Thailand sehingga hari ini merupakan negara pengeluar padi utama dunia. Beras dihasilkan petani di Thailand juga bermutu tinggi.

“Biarpun ada penduduk dari negara lain diupah menggalikan terusan, namun hanya nama Kalantan sahaja yang diabadikan pada nama tempat di tengah Kota Bangkok.

“Buktinya wujud stesen kereta api elektrik yang diberi nama Kalantan,” ujarnya.

Malah penempatan orang Kelantan di situ dikenali sebagai Khlontam sudah wujud lebih 100 tahun lalu.

Rumah Ustaz Ariffin terletak berhampiran dengan stesen kereta api elektrik di Kalantan. Di pada zaman lampau kawasan itu merupakan sawah padi yang diusahakan ayah beliau.

Stesen kereta api tersebut dibina kira-kira lima tahun lepas. Di lokasi berdekatan sekarang juga terdapat stesen pam minyak.


 

Post a Comment

0 Comments