Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA DARULNAIM, 16 Disember - Sebanyak 78 pesakit kronik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemahang disantuni melalui Skim Bantuan Penyakit Kronik Kerajaan Negeri Kelantan berjumlah RM30,000 sepanjang tahun ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kemahang yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan YB Mejar (B) Dato’ Md Anizam AB Rahman berkata, penyaluran bantuan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya golongan yang berdepan masalah kesihatan berpanjangan.
Menurutnya, bantuan yang diberikan secara langsung kepada penerima itu sedikit sebanyak dapat membantu menampung kos rawatan serta keperluan harian pesakit kronik.
“Seramai 78 pesakit kronik di DUN Kemahang telah menerima manfaat daripada skim ini. Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban kewangan pesakit dan keluarga mereka,” katanya menerusi media sosial, pada Isnin.
Tambahnya, inisiatif berkenaan turut bertujuan mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi keluarga pesakit, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada proses rawatan dan pemulihan.
Dalam pada itu, beliau turut mendoakan agar semua penerima skim berkenaan dikurniakan kesihatan yang baik serta kesembuhan oleh Allah SWT.
“Semoga usaha murni kerajaan negeri ini dapat diteruskan dan memberi manfaat berterusan kepada rakyat Kelantan pada masa akan datang,” katanya.



0 Comments