YB Hilmi serah tiga Rumah Dhuafa' kepada rakyat DUN Guchil


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Unit Media Exco

KOTA DARULNAIM, 16 Disember – Kerajaan Negeri Kelantan meneruskan usaha membantu golongan memerlukan apabila tiga unit Rumah Dhuafa’ diserahkan kepada penerima terpilih di DUN Guchil menerusi gimik penyerahan yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil YB Hilmi Abdullah pada Ahad.

Menurut YB Hilmi, Program Rumah Dhuafa’ yang dibina dengan spesifikasi tiga bilik dan dua bilik air itu merupakan sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan bagi membantu keluarga yang mengalami kesempitan hidup.

“Program Rumah Dhuafa’ ini merupakan sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai salah satu usaha untuk membantu golongan yang memerlukan supaya dapat tinggal dalam rumah yang lebih selesa dan terjamin keselamatannya,” katanya di laman rasmi pada Ahad.

Beliau berkata, usaha tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam membela golongan miskin tanpa mengira bangsa dan agama.

"Usaha ini selaras dengan tuntutan Islam supaya kita menjaga mereka yang lemah dan memerlukan,” jelasnya.

Penerima Rumah Dhuafa’ pertama, Mahendran A/L Anantham

Rumah Dhuafa’ pertama diserahkan kepada Mahendran A/L Anantham.

YB Hilmi memaklumkan bahawa pada tahun 2024, sebuah Rumah Dhuafa’ telah dibina untuk keluarga miskin kaum Cina, manakala penyerahan kali ini merupakan kali pertama rumah seumpamanya dibina untuk keluarga kaum India di DUN Guchil.

"Semoga dengan adanya rumah baharu ini, ia menjadi permulaan untuk membina kehidupan yang lebih baik buat Encik Mahendran dan keluarga,” ujarnya.

Rumah kedua pula diserahkan kepada Mat Fadil Mamat di Kampung Tok Bok.

Penerima Rumah Dhuafa’ kedua, Mat Fadil Mamat

Menurut YB Hilmi, Mat Fadil sebelum ini tinggal menyewa secara tidak tetap dan sering berpindah randah bergantung kepada pekerjaan, selain masih menyara dua orang anak di bawah tanggungannya.

Memandangkan tapak rumah yang dibina sebelum ini agak rendah dan sering menjadi tempat air bertakung, aras lantai rumah itu telah ditinggikan melebihi tiga kaki bagi memberikan lebih keselesaan.

"Semoga beliau dan anak-anak dapat memulakan kehidupan baharu dengan adanya tempat berteduh yang amat selesa milik sendiri hasil sumbangan Kerajaan Negeri Kelantan,” katanya.

Penerima Rumah Dhuafa’ ketiga, Kahazaini Khaidir

Penyerahan Rumah Dhuafa’ ketiga pula melibatkan Kahazaini Khaidir di Kampung Padang 9 yang mempunyai enam orang anak.

"Penerima berkenaan sebelum ini tinggal menumpang di rumah kayu pusaka yang usang bersama ahli keluarga lain, manakala suaminya tidak dapat bekerja sepenuhnya selepas mengalami kecederaan mata akibat kemalangan," jelasnya YB Hilmi.



Post a Comment

0 Comments