Anak Kelantan diseru rebut peluang sepenuhnya menuntut di Mesir


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar

KOTA DARULNAIM, 10 Disember – Anak-anak Kelantan yang menuntut di Mesir diseru agar mengambil peluang sepenuhnya untuk menimba ilmu di bumi yang menjadi pusat rujukan pendidikan dunia sejak zaman berzaman.

Menteri Besar, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud menegaskan bahawa peluang berada di “lubuk ilmu” seperti Mesir bukan sesuatu yang harus dipersia-siakan, sebaliknya memerlukan kesungguhan dan komitmen tinggi daripada para penuntut.


Menurutnya, kerajaan negeri juga sentiasa berusaha menyediakan pelbagai kemudahan serta meningkatkan keselesaan kepada para pelajar dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka dapat belajar dalam suasana kondusif.

“Kerajaan negeri Kelantan sentiasa komited terhadap aspek pendidikan dan pembangunan minda serta sahsiah rakyat. Mereka adalah pewaris yang kelak akan kembali berkhidmat memimpin ummah ke jalan kebenaran,” katanya menerusi media sosial, pada Selasa.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dengan anak-anak Kelantan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) atau dahulunya dikenali sebagai Asrama Melayu Abbasiah. Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana mesra serta penuh kekeluargaan sempena lawatan kerja Menteri Besar Kelantan ke Mesir.


Dato’ Mohd Nassuruddin turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Penasihat (Pendidikan) di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah Dato' Shamsul Najmi Shamsuddin yang juga rakan beliau semasa menuntut di Universiti al-Azhar dahulu.

Ucapan terima kasih turut disampaikan kepada Pegawai Kebajikan Kelantan Timur Tengah serta para pelajar Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir (KPKM) atas sambutan dan layanan terbaik sepanjang lawatan kerja beliau ke negara itu.

Post a Comment

0 Comments