Oleh: Norzana Razaly
KOTA BHARU, 9 Disember – Kelstone Sdn Bhd (Kelstone) menyambut baik keputusan Kerajaan Negeri Kelantan meluluskan pengeluaran lesen mendulang emas kepada rakyat negeri ini.
Sehubungan itu, Pengurus Besar Kelstone P.Geol Phakhruddin Abdullah berkata, langkah kerajaan negeri itu membuka ruang luas kepada rakyat untuk terlibat dalam aktiviti pendapatan baharu, sekali gus memberi nilai tambah kepada GLC negeri dalam merancakkan pertumbuhan sektor perlombongan berasaskan mineral.
Beliau menyifatkan keterbukaan Kerajaan Kelantan meluluskan pengeluaran lesen mendulang emas di bawah Enakmen Mineral 2001 sebagai langkah strategik yang mampu memperkukuh ekosistem perlombongan negeri.
Menurutnya, keputusan itu memberi ruang baharu kepada rakyat untuk menjana pendapatan melalui aktiviti mendulang secara sah dan membuka peluang kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) meneroka pendapatan tambahan melalui pemantauan, penyelarasan dan penyertaan dalam aktiviti berkaitan.
“Ini adalah satu peluang yang baik pada pandangan peribadi saya yang telah berkecimpung lebih 20 tahun dalam industri perlombongan, dan sebagai Ahli Geologi Profesional berdaftar dengan Lembaga Geologi Malaysia dalam bidang perlombongan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa mandat yang diberikan kerajaan mampu direalisasikan Kelstone sekiranya diberikan peluang untuk melaksanakannya di kawasan yang telah diluluskan lesen carigali oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG), selain kawasan yang mempunyai Pajakan Melombong (ML) atau Pajakan Melombong Tuan Punya (PML).
Phakhruddin menambah bahawa aktiviti mendulang berskala kecil lazimnya memberi impak minimum terhadap alam sekitar serta tidak memerlukan kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
Namun, langkah pemantauan tetap perlu dilaksana bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) melalui pelaksanaan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (Environmental Management Plan – EMP).
“Walaupun impak aktiviti mendulang ini adalah kecil dan tidak memerlukan EIA, langkah-langkah pengurusan alam sekitar tetap penting. Ia perlu dilaksanakan dengan sokongan JAS menerusi EMP supaya aktiviti rakyat selaras dengan garis panduan kelestarian negeri,” jelasnya.
Beliau turut menyeru agar pandangan berkenaan dibincang dan diperhalusi di peringkat Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Anak Negeri yang dipertanggungjawabkan membangunkan sektor perlombongan di Kelantan, demi memaksimumkan manfaat kepada kerajaan, GLC serta rakyat.
“Keputusan kerajaan meluluskan lesen mendulang ini amat signifikan. Jika dirangka dan dipantau dengan struktur tadbir urus yang tepat, ia berupaya memberi impak positif dan menyeluruh kepada ekonomi negeri serta kesejahteraan rakyat Kelantan,” ujarnya.

0 Comments