Oleh: Syamimi Manah
KUALA LUMPUR, 10 Disember – YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff menegaskan bahawa Belanjawan 2026 perlu memberikan tumpuan yang lebih agresif dan menyeluruh terhadap pembangunan Kelantan, khususnya dalam isu keperluan asas rakyat, ekonomi serta kesejahteraan sosial negeri.
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada 8 Disember, beliau menyuarakan rasa keprihatinan mendalam terhadap apa yang dilihat sebagai peruntukan yang tidak selari dengan keperluan mendesak Kelantan, terutama melibatkan isu bekalan air bersih dan sanitasi.
Menurutnya, peruntukan tersebut perlu diletakkan di bawah satu dana khas bersepadu yang dipantau dengan lebih ketat agar kelewatan birokrasi yang melibatkan pelbagai agensi dapat dielakkan.
"Kelantan memerlukan peruntukan yang bersifat pencegahan radikal, bukan sekadar pemulihan sementara. Peruntukan untuk Projek Tebatan Banjir Sungai Golok juga perlu mengambil kira peningkatan kos bahan binaan serta kesan ekonomi jangka panjang dan tekanan psikologi yang ditanggung rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkasakan fungsi Kelantan sebagai Gerbang Timur ke Thailand dan Indochina, termasuk pembangunan infrastruktur perdagangan di Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor yang menurutnya belum diberi keutamaan sewajarnya.
Dr. Wan Martina juga menuntut perhatian segera Kerajaan Persekutuan terhadap Tok Bali Supply Base (TBSB), aset pelabuhan strategik Kelantan yang terletak berhadapan laluan perdagangan Laut China Selatan.
"Kerajaan perlu mengumumkan satu peruntukan permulaan bagi menaik taraf TBSB sebagai pelabuhan nasional serta membentangkan pelan pembangunan pelabuhan timur Semenanjung secara terperinci,” ujarnya.
Dalam sektor pertanian, beliau menggesa peruntukan lebih besar bagi infrastruktur pengairan moden agar hasil dapat ditingkatkan dan Kelantan tidak kekal sebagai negeri pertanian sara diri.
Beliau turut menekankan keperluan meningkatkan peruntukan Pembangunan Vokasional dan Latihan Teknikal (TVET), termasuk penubuhan Pusat Kecemerlangan TVET berfokus teknologi masa depan bagi mengelakkan fenomena brain drain.
Selain itu, Dr. Wan Martina mendesak agar jumlah pakar perubatan serta kemudahan kesihatan di Kelantan ditambah segera, khususnya melalui pembinaan dan naik taraf hospital daerah.
Menyentuh isu pengurusan bencana, beliau mencadangkan pembinaan Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di setiap daerah berisiko banjir bagi mengurangkan gangguan terhadap sistem persekolahan akibat penggunaan pusat pemindahan sementara.
Beliau turut mengangkat isu reformasi institusi dan perundangan, terutama melibatkan kedudukan undang-undang jenayah Syariah susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Iki Putra dan Nik Elin.
"Bagi memulihkan semula kuasa negeri dalam menggubal undang-undang Syariah, negara perlu mempertimbangkan langkah pembetulan di peringkat Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Ahli Dewan Negara itu turut menggesa Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan penubuhan Pejabat Bajet Parlimen (PBO) sebagai institusi bebas serta menilai cadangan pemansuhan jawatan Setiausaha Politik (Setpol) bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti.
"Saya berharap Dewan Negara terus memastikan keseimbangan kuasa Persekutuan dan Negeri dipelihara, serta wang rakyat diurus dengan penuh amanah,” ujarnya.

0 Comments