![]() |
| Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, YB Hilmi Abdullah |
Oleh: Norzana Razaly
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
KOTA BHARU, 7 Disember - Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar YB Hilmi Abdullah menegaskan bahawa asimilasi budaya di negeri ini telah wujud sejak turun-temurun dan menjadi asas keharmonian masyarakat majmuk Kelantan.
“Asimilasi budaya berlaku begitu lama sehingga orang Cina boleh kacau bubur Asyura di depan tokong kerana datuk nenek mereka sudah pernah lakukannya sejak dulu lagi. Di Kuala Krai ramai dalam kalangan kaum Cina dari luar Kelantan yang menjadi taukeh kilang kayu mengaku suka tinggal di Kelantan. Tiada rekod pertumpahan darah di Kelantan. Malah Kuala Krai tersenarai sebagai daerah paling bahagia di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Tahunan Jalinan Budaya dan Pertandingan Masakan Tradisional Kelantan 2025 yang berlangsung di Dewan Perniagaan Cina, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, tahun lalu program sama dilaksanakan di Gerbang Cheng Ho sebagai kesinambungan usaha meraikan perpaduan dan kebersamaan rakyat Kelantan.
YB Hilmi menyaran pihak penganjur memperluaskan konsep pertandingan pada edisi akan datang dengan pendekatan silang budaya.
“Tahun depan, penganjur boleh buat agar peserta Melayu memasak makanan kaum Cina, India atau Siam, manakala kaum lain turut menyediakan masakan dari budaya berbeza,” ujarnya.
Program tersebut turut menyaksikan YB Hilmi menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan memasak juadah tradisional mengikut kategori kaum.
Srikandi Puspanita MPKB-BRI muncul johan bagi kategori Melayu, Persatuan Guolin Qigong mengungguli kategori Cina, Kumpulan KB Jothi memenangi kategori India, manakala Khrua Siam menguasai kategori Siam. Setiap johan menerima wang tunai RM400, bersama sekampit beras Nagasari dan sekampit beras basmathi tajaan Beras Era.
Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Bharu YB Dato' Seri Takiyudin Hasan berkata, program anjuran MPKB-BRI itu memainkan peranan penting mengumpulkan seluruh masyarakat bandar dan luar bandar tanpa mengira kaum.
![]() |
| Ahli Parlimen Kota Bharu, YB Dato' Seri Takiyudin Hasan |
“Program tahunan ini berjaya mengumpulkan warga bandar dan masyarakat dari segenap pelusuk negeri bagi memupuk semangat perpaduan. Setiap kaum mempunyai kebudayaan masing-masing. Kerajaan Kelantan mengambil berat dan menghormati aset negeri dalam bentuk keluarga majmuk yang pelbagai kaum. Mudah-mudahan kita dapat hidup dalam ketenangan jiwa sampai ke anak cucu,” katanya.






0 Comments