![]() |
| Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud |
Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
Kredit foto: Unit Media Menteri Besar
KOTA DARULNAIM, 7 Disember – Masyarakat perlu dikembalikan keyakinan bahawa hanya dengan kembali tunduk kepada tuntutan wahyu mampu menangani segala bentuk kepincangan dan kegusaran sosial yang semakin meruncing dalam negara, tegas Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato' Mohd Nassuruddin Daud.
Menurutnya, masyarakat kini berdepan keruntuhan sahsiah yang sangat membimbangkan apabila pelbagai jenayah berlaku di merata tempat, termasuk di dalam kawasan sekolah.
“Keruntuhan keperibadian remaja khususnya, malah melibatkan golongan dewasa, semakin parah. Tidak cukup dengan jenayah penyalahgunaan dadah, rasuah, penyelewengan kuasa, bunuh dan sebagainya, negara terus digemparkan dengan kes rogol dan buli, bahkan tragedi pembunuhan tragis dalam pagar sekolah."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Yayasan Islam Kelantan (YIK) 2025, di Dewan Tok Guru Bentara Setia, Kompleks Kota Darulnaim pada Sabtu.
Beliau turut mendedahkan statistik terkini Kementerian Pendidikan Malaysia yang merekodkan lebih 7,600 kes buli sepanjang 2024, menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya.
Mengulas punca gejala sosial tersebut, beliau berkata media sosial kini seolah-olah menjadi guru utama kepada pelajar, dengan platform seperti TikTok, Instagram dan YouTube bukan lagi sekadar hiburan, sebaliknya medan pembentukan identiti dan tingkah laku.
Kajian CyberSecurity Malaysia turut menunjukkan sebahagian besar pelajar sekolah menengah pernah terdedah kepada kandungan tidak sesuai, termasuk bahan lucah, secara tidak sengaja melalui platform digital.
“Fenomena cabaran viral berbahaya, budaya hedonisme dan gaya hidup bebas semakin diterima sebagai norma. Tanpa kawalan dan bimbingan, media sosial boleh menjadi pintu masuk kepada keruntuhan akhlak,” katanya.
Menteri Besar menegaskan bahawa penyelesaian menyeluruh terhadap masalah sosial ini hanya boleh dicapai melalui pelaksanaan sistem dan nilai Islam secara komprehensif.
“Ia tidak memadai sekadar menerapkan pengajian agama sedangkan faktor perosak di luar sana dibiarkan bebas tanpa penguatkuasaan berkesan. Di sinilah pentingnya kekuasaan dalam pentadbiran supaya dasar dan polisi berpaksikan agama dapat dilaksanakan,” jelasnya.
Beliau menambah, perubahan ke arah kehidupan sejahtera berteraskan Islam tidak boleh hanya berlaku di Kelantan atau beberapa negeri sahaja, tetapi perlu diperluas sehingga ke peringkat Persekutuan untuk membina Malaysia yang benar-benar sejahtera.
Beliau turut mengingatkan bahawa Rasulullah SAW telah menggariskan kaedah penyelesaian mendasar yang perlu diberi perhatian, termasuk pemilihan pasangan yang baik, pembinaan rumahtangga mawaddah serta mendidik anak mendirikan solat sejak kecil.
“Pemilihan sahabat juga penting kerana ia membentuk jati diri dan hubungan seseorang dengan Allah SWT,” ujarnya.


0 Comments