Kelantan kekal negeri harmoni, sejarah buktikan tiada perbalahan kaum – MB Kelantan

Menteri Besar Kelantan, YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud

Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 6 Disember– Kelantan terus mengekalkan rekod sebagai sebuah negeri yang bebas daripada konflik antara kaum sejak dahulu, menjadikan keharmonian masyarakat pelbagai etnik sebagai aset yang wajib dipertahankan untuk generasi akan datang.

Menteri Besar Kelantan YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud berkata sejarah negeri ini menunjukkan bahawa hubungan antara kaum sentiasa berada dalam keadaan aman dan harmoni tanpa sebarang perbalahan besar yang menggugat perpaduan masyarakat.

"Dalam konteks keharmonian dan kemesraan kaum di Kelantan, kita bukan sekadar bercakap tetapi sejarah membuktikan tidak pernah berlaku perbalahan kaum di Kelantan ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Penerangan dan Pemimpin Bersama Rakyat (Masyarakat India) peringkat negeri di Kelantan Trade Centre, pada Jumaat.

Beliau menegaskan bahawa rekod perpaduan itu merupakan satu kelebihan dan identiti negeri yang tidak boleh digadaikan.


"Ini kelebihan dan keistimewaan yang mesti dipertahankan dan dikekalkan di negeri Kelantan untuk selama-lamanya.”

Menurutnya, kehadiran masyarakat pelbagai kaum di majlis itu juga membuktikan iltizam bersama untuk mengekalkan suasana aman tersebut.

"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir yang mana pada hemat saya menjadi satu manifestasi kepada hasrat dan iltizam untuk melihat perpaduan dan keharmonian hidup di Kelantan dapat dikekalkan.” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengelola program atas usaha berterusan dalam memperkukuh agenda perpaduan kaum.

"Tahniah kepada penganjur daripada Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) yang berusaha meningkatkan perpaduan kaum di Kelantan.

Kami di peringkat kepimpinan negeri sentiasa cakna dan amat prihatin terhadap sebarang inisiatif untuk memartabatkan agenda perpaduan bagi melestarikan hubungan bermasyarakat yang baik.” jelasnya.

Tambahnya, prinsip Islam yang menekankan keadilan untuk semua kaum menjadi dasar pentadbiran negeri dalam memastikan hubungan erat ini terus terpelihara.

"Prinsip Islam cukup jelas iaitu memberikan keadilan untuk semua serta tidak boleh menzalimi antara satu sama lain.” katanya.

Menteri Besar turut mengingatkan bahawa mengekalkan keharmonian adalah usaha yang menuntut komitmen bersama.

"Kita juga sedar untuk berpecah belah itu mudah tetapi untuk mengekalkan keharmonian pelbagai kaum suatu yang cukup sukar.” ujarnya.

Beliau menyeru semua rakyat Kelantan untuk terus menghayati nilai kekeluargaan yang telah lama menjadi cara hidup masyarakat di negeri ini.

"Di Kelantan kita hidup sebagai satu keluarga sejak zaman berzaman. Kepelbagaian bahasa dan budaya adalah satu keistimewaan yang harus kita tonjolkan kepada masyarakat luar sebagai bukti perpaduan sejati ada di negeri Kelantan.” ujarnya.


Majlis tersebut turut menyaksikan gimik sumbangan kepada NGO masyarakat India bagi tahun 2025, serta penyampaian duit raya kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

Post a Comment

0 Comments