![]() |
| Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat |
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 28 Disember – Kelantan Authentic Lifestyle and Arts (KALA) Sentral terus berperanan sebagai pemangkin ekonomi rakyat apabila menyediakan platform strategik kepada usahawan kecil dan sederhana untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan di peringkat akar umbi selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kelantan.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, inisiatif di bawah KALA Sentral yang diterajui oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) sejak 2015 telah membuka akses pasaran yang lebih luas kepada usahawan tempatan melalui pendekatan berfokus dan berperingkat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup KALA Year End Festival 2025 yang berlangsung di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Bharu, hari ini.
Menurutnya, KALA yang kini menjadi trademark kepada program-program promosi dan keusahawanan negeri bukan sahaja mengetengahkan produk tempatan, malah memperkukuh asas ekonomi rakyat.
“Melalui pendekatan berfokus dan berperingkat, KALA Sentral telah membuka ruang kepada usahawan kecil dan sederhana untuk menembusi pasaran yang lebih luas, sekali gus memperkukuh ekonomi rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Pengerusi Pemandu KALA Sentral Sdn. Bhd. turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada KALA Sentral Sdn. Bhd. dengan kerjasama Hostcare Sdn. Bhd. serta semua pihak yang berganding bahu menjayakan penganjuran festival berkenaan yang berlangsung selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Disember lalu.
Mengulas perkembangan operasi, beliau memaklumkan bahawa KALA Sentral kini beroperasi di lokasi baharu di tingkat bawah Bangunan UTC Kelantan yang lebih strategik dan berpotensi tinggi selepas berpindah dari Bangunan Bazar Tengku Anis.
“Perpindahan ini dijangka menyediakan kemudahan ruang yang lebih kondusif, meningkatkan kualiti penganjuran serta menjana pulangan ekonomi yang lebih mampan kepada usahawan tempatan,” jelasnya.
![]() |
| Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK, Dato’ Sr. Zamri Ismail |
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKINK Dato’ Sr. Zamri Ismail berkata, penganjuran KALA Year End Festival 2025 merupakan manifestasi komitmen PKINK dan rakan strategik dalam memacu pertumbuhan ekonomi setempat serta menjadikan sektor perniagaan, pelancongan dan gaya hidup sebagai pemangkin pembangunan negeri.
“Penganjuran festival ini menyediakan platform yang inklusif dengan menghimpunkan peniaga kecil dan sederhana, pengusaha industri kreatif, penggiat makanan dan minuman serta komuniti setempat untuk mempamerkan produk, bakat dan potensi masing-masing kepada masyarakat umum,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran festival berkenaan juga bertujuan mewar-warkan kepada orang ramai mengenai perpindahan operasi KALA Sentral Sdn. Bhd. ke Bangunan UTC Kelantan sejak Oktober 2024, bagi memastikan capaian perkhidmatan dan kemudahan yang lebih baik kepada pengunjung.
KALA Year End Festival 2025 yang berlangsung selama tiga hari itu dimeriahkan dengan pelbagai pengisian menarik termasuk jualan rahmah, jualan usahawan, persembahan artis tempatan, dikir barat, program derma darah serta cabutan bertuah.




0 Comments