Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: Unit Media Exco
Kredit foto: Unit Media Exco
TUMPAT, 28 Disember - Khitan merupakan tuntutan fitrah dalam Islam yang bertujuan menjaga kebersihan, kesihatan serta kesempurnaan ibadah, selain berperanan mendidik anak-anak mengenai tanggungjawab, disiplin dan kepatuhan kepada syariat Allah, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.
Katanya, amalan berkhitan bukan sekadar melibatkan aspek fizikal, sebaliknya membawa nilai pendidikan rohani dan pembentukan sahsiah kanak-kanak Muslim sejak usia awal.
“Khitan adalah satu proses penting dalam kehidupan seorang Muslim. Ia mendidik anak-anak supaya memahami tanggungjawab terhadap diri, menjaga kebersihan serta mematuhi tuntutan agama,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasminya pada Jumaat.
Terdahulu, beliau merasmikan Program Khitan Perdana DUN Pengkalan Kubor di Wisma Imtiyaz, Pengkalan Kubor, yang melibatkan lebih 150 orang peserta.
Program dimulakan dengan semburan air oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor. Ia kemudian diteruskan dengan solat hajat, majlis perasmian serta gimik mengerat pulut semangat dan menyuap kepada peserta khitan sebagai simbol doa, restu dan semangat kebersamaan.
Selain itu, pemeriksaan gigi turut diadakan oleh Klinik Kesihatan Pengkalan Kubor sebagai usaha memastikan aspek kesihatan menyeluruh dalam kalangan peserta yang terlibat.
YB Dato' Wan Roslan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program berkenaan, termasuk jawatankuasa penganjur, petugas perubatan, sukarelawan serta para ibu bapa yang memberikan kepercayaan dan kerjasama.
“Semoga segala usaha murni ini diberkati Allah SWT dan menjadi amal kebajikan yang berpanjangan,” katanya.




0 Comments