Kelantan utamakan pembangunan OKU melalui Dasar OKU Muqarrabun


Oleh: Syamimi Manah

KOTA BHARU, 3 Disember – Kerajaan Negeri Kelantan menekankan pembangunan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui Dasar OKU Muqarrabun sebagai panduan dalam memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembangunan masyarakat.

Perkara itu dikongsi dalam sesi audio siar Sambutan Hari OKU Sedunia 2025 yang berlangsung di Pusat Latihan Wanita, OKU, Armalah (PLOWA), Bazar Buluh Kubu, hari ini

Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan Dato’ Dr. Wan Nik Wan Yusoff berkata, falsafah Membangun Bersama Islam (MBI) menjadi asas kepada setiap inisiatif kerajaan negeri dalam mendukung kesejahteraan OKU.

Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Dato’ Dr. Wan Nik Wan Yusoff

“Dengan falsafah MBI, kerajaan membuka ruang kerjasama antara pihak kerajaan dan komuniti, termasuk OKU.

"Dasar OKU Muqarrabun diperkenalkan supaya masyarakat dan kerajaan dapat memahami keperluan OKU. Mereka mempunyai keupayaan tersendiri dan perlu diberi peluang untuk menyumbang dalam pelbagai bidang,” katanya.

Tambahnya, semua fasiliti awam harus diakses oleh OKU dan kerajaan negeri sentiasa meneliti setiap segmen rakyat supaya tiada yang tertinggal.


“Nilai keadilan dalam pendekatan Islam perlu dijaga. OKU juga ingin bergembira dan menikmati kehidupan. Kerajaan melalui dasar sedia ada berusaha memenuhi keperluan ini sebaik mungkin,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) Ilvira Mohd Dasuki, berkongsi sejarah pembangunan OKU di Kelantan.

Menurutnya, sebelum ini bantuan OKU hanya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dan tiada badan khusus untuk pembangunan OKU di jabatan kerajaan.

Pengarah Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa), Ilvira Mohd Dasuki

“Penubuhan Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) menjadi payung pertama di Malaysia yang menyatukan NGO OKU berbeza, termasuk NGO orang bisu, cacat fizikal, dan berkerusi roda.

Walaupun keperluan mereka berbeza, mereka disatukan oleh harapan dan hati yang sama,” jelasnya.

Ilvira turut menegaskan peranan Majlis Penasihat OKU Negeri (MPON) dan pegawai OKU yang dilantik di bawah U-KeKWa dalam menguruskan kebajikan serta program-program khusus untuk golongan ini.

Tambahnya, audio siar itu berperanan sebagai salah satu antara usaha Kerajaan Kelantan untuk berkongsi dasar, inisiatif, dan cabaran dalam pembangunan OKU, sekali gus menekankan komitmen negeri memastikan semua golongan masyarakat diberikan peluang yang sama.

Post a Comment

0 Comments