![]() |
| Khairul Amilin Hassan |
Oleh: Syamimi Manah
KOTA BHARU, 4 Disember - “OKU juga adalah sebahagian daripada masyarakat. Kami ada keluarga, ada perasaan, ada tanggungjawab, cuma kami ada kekurangan.”
Demikian luahan Pengerusi Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Khairul Amilin Hassan, ketika berkongsi kisah inspirasi dalam Podcast Sambutan Hari OKU Sedunia 2025 di Pusat Latihan Wanita, OKU dan Armalah (PLOWA), Bazar Buluh Kubu, semalam.
Menurutnya, golongan OKU sentiasa berusaha menyesuaikan diri dalam arus kehidupan bermasyarakat, namun masih berdepan pelbagai stigma, terutama dalam akses pendidikan serta peluang membina masa depan.
"OKU teringin nak belajar seperti orang biasa tetapi terpaksa ke sekolah berasingan. Kadang-kadang masyarakat kata OKU tidak perlu belajar tinggi. Kami hanya mahu peluang pendidikan, pekerjaan dan akses kemudahan seperti orang lain," katanya.
Khairul turut menyarankan agar kerajaan memberi perhatian berterusan terhadap pembaikan akses pendidikan, penyediaan peluang pekerjaan dan pembangunan kemudahan awam yang lebih mesra OKU, sebagai langkah penting memastikan golongan tersebut dapat menikmati kehidupan yang setara dan bermaruah.
Program anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (UKeKWa) dengan kerjasama Majlis Persefahaman Pertubuhan OKU Kelantan (MPPOK) dan Pusat Kajian Strategik (PKS) itu turut membuka ruang kepada komuniti OKU menyuarakan aspirasi, memahami polisi semasa dan menilai hala tuju mewujudkan masyarakat inklusif.
Timbalan Setiausaha Persatuan Orang Pekak Kelantan (POPK) Muhammad Firdaus Zulkifli turut berkongsi liku hidup sebagai orang pekak yang mula dirasai sejak di bangku sekolah apabila komunikasi pengajaran tidak sepenuhnya menggunakan bahasa isyarat.
![]() |
| Muhammad Firdaus Zulkifli |
Beliau turut berkongsi pengalaman diskriminasi ketika mencari pekerjaan.
“Saya pernah pergi ke kilang untuk mohon kerja, tetapi ditolak kerana saya tidak boleh bercakap,” katanya.
Firdaus menzahirkan harapan agar masyarakat lebih terbuka mendekati golongan pekak dan mengusahakan komunikasi asas.
"Harapan saya masyarakat jangan tinggalkan orang pekak jika tidak tahu berkomunikasi dengan kami. Cukup guna bahasa isyarat mudah atau tulis di kertas," ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi peserta Mohd Helmi Deris berharap lebih banyak kemudahan awam dibangunkan dengan ciri mesra OKU bagi memudahkan urusan harian mereka.
“Saya berharap supaya kemudahan awam lebih mesra OKU,” katanya.
![]() |
| Mohd Helmi Deris |
Perbincangan panel turut menyentuh hak OKU, pelaksanaan polisi semasa serta keperluan mendesak untuk memperkukuh sistem sokongan bagi memastikan keadilan sosial dapat dinikmati secara menyeluruh.
Program yang dihadiri 23 peserta OKU itu turut menampilkan sesi penutup yang menggabungkan mesej komuniti serta cadangan penambahbaikan masa hadapan.
Sebagai simbolik sambutan, acara disempurnakan dengan sesi memotong kek Hari OKU Sedunia bersama Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita YB Nor Asilah Mohamed Zain.




0 Comments