Kelantan buka lesen mendulang emas kepada rakyat negeri mulai Januari 2026

Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato’ Dr. Mohd Fadzli Hassan

Oleh: Norzana Razaly

KOTA DARULNAIM, 3 Disember – Rakyat Kelantan dibenarkan memohon lesen mendulang emas secara sah bermula Januari 2026, menandakan langkah terancang kerajaan negeri mengurus sumber mineral secara lebih tersusun dan selamat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato’ Dr. Mohd Fadzli Hassan berkata keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Exco hari ini setelah Prosedur Standard Operasi (SOP) di bawah Seksyen 28 Enakmen Mineral 2001 dirangka dengan teliti.

“Lesen itu mestilah pertama, dimohon terus melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Kelantan atau Pejabat Tanah dan Jajahan setempat. Kedua, sedikit yuran akan dikenakan sebanyak RM100 setahun. Ketiga, lesen dikeluarkan untuk rakyat negeri Kelantan sahaja,” katanya ketika ditemui di Mabna, hari ini.

Beliau menjelaskan, aktiviti mendulang hanya dibenarkan antara pukul 8 pagi hingga 6 petang di kawasan yang akan digazetkan seperti di Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli iaitu lokasi yang dikenal pasti mempunyai potensi emas.

Mengulas aspek keselamatan, beliau menegaskan beberapa peraturan tambahan ditetapkan, termasuk larangan mendulang pada musim tengkujuh.

“Nanti akan dimasukkan dalam syarat-syarat… contohnya kalau hendak mendulang di sungai akan ada peraturan kerana melibatkan alam sekitar dan sebagainya. Kita bimbang tebing sungai runtuh,” katanya.

Kerajaan negeri turut menetapkan bahawa emas yang diperoleh pendulang berlesen hendaklah dijual kepada pengedar sah yang diiktiraf.

“Peraturan ini kita tetapkan untuk menjaga kebajikan pendulang-pendulang. Setiap seorang diberi satu lesen yang tidak boleh dipindah milik kepada orang lain,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa aktiviti mendulang mesti dijalankan secara manual tanpa penggunaan mesin atau peralatan mudah alih kerana kategori penggunaan jentera tertakluk kepada industri perlombongan berskala besar.

Dalam masa sama, pakej pelancongan melibatkan pengalaman mendulang akan disusun di bawah kategori berasingan.

“Pakej pelancongan itu lain. Kita jadikan sebagai pakej pelancongan antaranya pergi mendulang dalam masa setengah jam atau sejam,” katanya.

Kerajaan negeri juga membenarkan pemilik tanah persendirian mendulang di tanah sendiri dengan syarat mempunyai lesen sah. Pengedar yang diiktiraf pula diwajibkan memohon lesen khas kerana tertakluk kepada pembayaran royalti.

“Pendulang di tanah persendirian dan pengedar yang sah juga mesti memohon lesen. Kita nak pastikan kebajikan rakyat terjaga supaya tidak menjadi mangsa orang tengah. Harga yang dibeli oleh pengedar sah itu mengikut harga semasa,” jelasnya.

Katanya lagi, mana-mana rakyat Kelantan boleh memohon menjadi pengedar sah tertakluk kepada syarat tertentu seperti meletakkan deposit kepada PTG sebagai jaminan kebajikan penjual dan pendulang serta memastikan pembayaran royalti kepada kerajaan negeri.

Post a Comment

0 Comments