Oleh: Asri Hamat
KOTA DARULNAIM, 9 Disember – Usaha mempertingkatkan rangkaian dan kesalinghubungan digital di Kelantan terus diperteguh apabila kerajaan negeri mengadakan satu sesi dialog melibatkan pemilik menara komunikasi dan penyedia infrastruktur telekomunikasi di sebuah hotel di Kota Bharu, pada Isnin.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata, sesi berkenaan menjadi medan penting untuk menyelaras maklumat, meneliti cabaran semasa serta mendengar pandangan pemain industri berkaitan pembangunan infrastruktur komunikasi di Kelantan.
Menurutnya, disiplin komunikasi moden menuntut kerjasama erat antara kerajaan, agensi teknikal dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan pelaksanaan yang holistik serta menepati keperluan semasa rakyat.
“Sesi dialog ini turut disertai jabatan kerajaan serta syarikat pembina menara dan penyedia rangkaian komunikasi. Mereka memainkan peranan besar dalam memastikan kesalinghubungan rakyat Kelantan dapat dipertingkatkan secara menyeluruh,” katanya.
Tambahnya, maklum balas yang diterima sepanjang sesi dialog akan menjadi pemangkin kepada tindakan yang lebih terarah.
“Insya-Allah, segala maklum balas dan input yang diterima hari ini akan membantu memperkukuh usaha Kerajaan Negeri dalam menyediakan perkhidmatan komunikasi yang lebih baik, stabil dan inklusif untuk seluruh rakyat Kelantan,” katanya melalui media sosial, pada Isnin.
Turut hadir pada sesi tersebut ialah timbalannya, YB Kamaruzaman Mohamad merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Gual Periok.





0 Comments