Oleh Salmah Mat Husain
KOTA BHARU:
Malaysia mempunyai undang-undang yang jelas untuk dikenakan tindakan terhadap
perlakuan songsang melibatkan lelaki dengan lelaki.
Namun, kelemahan dari sudut pelaksanaan dan kekeliruan proses siasatan menyebabkan masyarakat keliru terutamanya berkaitan isu serbuan spa songsang baru-baru ini.
Pengerusi Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Asmak Husin, berkata Seksyen 377D Kanun Keseksaan sudah cukup untuk mendakwa individu terlibat dalam perbuatan lucah sesama lelaki.
Katanya, dakwaan boleh dibuat sama ada perbuatan itu berlaku secara paksa atau suka sama suka.
Namun, kenyataan pihak polis bahawa ‘case is gone’ menimbulkan kekeliruan masyarakat.
“Ramai bertanya kenapa tidak direman. Penolakan reman bukan bermakna tiada kes. Ia hanya kerana suspek dibawa ke mahkamah selepas 24 jam, jadi mahkamah menolak permohonan reman,” katanya di sini.
Pada akhir November lepas media melaporkan seramai 201 lelaki ditahan di sebuah pusat kesihatan di Jalan Raja Laut, disyaki terbabit dalam aktiviti hubungan songsang.
Mereka berusia antara 19 hingga 60 tahun ditahan dalam operasi mengejut membabitkan Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Daripada 201 yang ditahan, 17 merupakan penjawat awam membabitkan doktor bedah, Timbalan Pendakwa Raya, Pegawai Tadbir Diplomatik, guru serta pegawai agensi penguatkuasaan.
Asmak juga berkata, kes seumpama itu tidak boleh dijadikan isu bermusim, sebaliknya ia perlu diperangi hingga berjaya.
“Kita berharap polis tidak membuat kesimpulan awal tiada kes di bawah Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Beliau juga berkata, SOP siasatan perlu diperkemaskan supaya bukti berkaitan perbuatan liwat dapat dikumpulkan dengan jelas.
Menurutnya seksyen 377A menyatakan walaupun tiada mangsa, kesalahan liwat sesama lelaki tetap satu jenayah.
“Isu spa songsang bukan soal menghukum sesiapa, tetapi keperluan menjaga kesihatan dan kesejahteraan masyarakat serta mengelakkan normalisasi perbuatan terlarang,” ujarnya.
Kata beliau juga berikutan kes Iki Putra dan Nik Elin, banyak kesalahan syariah tidak lagi boleh didakwa kerana dianggap berada dalam bidang kuasa sivil.
Oleh itu katanya pindaan segera perlembagaan diperlukan bagi membolehkan undang-undang sivil dan syariah berfungsi serentak untuk mengekang perlakuan songsang dalam kalangan Muslim.
“Negeri-negeri perlu diberi kuasa penuh menggubal dan menguatkuasakan undang-undang syariah agar amalan hidup umat Islam tidak digugat,” ujarnya.


0 Comments