![]() |
| Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, YB Mohd Asri Mat Daud |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 6 Disember – Kerajaan Negeri Kelantan menegaskan komitmennya untuk terus menghormati kepelbagaian anutan agama masyarakat berbilang kaum walaupun negeri itu berpegang kepada dasar pentadbiran berteraskan Membangun Bersama Islam.
Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta YB Mohd Asri Mat Daud berkata Kelantan telah lama menjadi model perpaduan masyarakat majmuk serta menitik berat keharmonian antara kaum dan agama.
Menurutnya, dasar Membangun Bersama Islam yang bermula sejak era kepimpinan Almarhum Tan Sri Dato' Bentara Setia Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat diteruskan dengan fasa Merakyatkan Membangun Bersama Islam, di bawah YB Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob dan memasuki fasa Penghayatan Membangun Bersama Islam di bawah YAB Dato' Panglima Perang, Ustaz Dato Mohd Nassuruddin Daud bukan sahaja memperkukuh kedudukan Islam tetapi turut mengangkat nilai perpaduan serta rasa hormat terhadap agama lain.
“Kita di Kelantan ini ada masyarakat India, Cina, Orang Asli dan Siam, semuanya digabungkan dalam agenda persatuan dan perpaduan. Malah, kerajaan negeri menubuhkan Pusat Integrasi Antara Kaum (PEKA) bagi memastikan kebajikan, kesihatan dan hak masyarakat bukan Islam terus terjamin,”
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerangan dan Pemimpin Bersama Rakyat (Masyarakat India) peringkat Negeri Kelantan di Dewan Kelantan Trade Centre (KTC), di sini, semalam.
Program kelolaan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan (UPKN) itu diserikan dengan kehadiran Menteri Besar YAB Dato' Panglima Perang Ustaz Dato Mohd Nassuruddin Daud bersama beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen Kota Bharu YB Dato' Seri Takiyudin Hasan dan sebahagian Ahli Dewan Negeri Kelantan (ADN).
Menurut YB Mohd Asri lagi, kerajaan negeri juga menyalurkan peruntukan bagi menjalankan pelbagai aktiviti masyarakat bukan Melayu serta memastikan mereka menikmati skim bantuan yang ditawarkan kerajaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata bantuan kebajikan seperti skim al-It'am, iaitu pemberian 10 kilogram beras setiap bulan diagihkan kepada penerima bukan Melayu dan bukan Islam di setiap DUN.
“Ini menunjukkan kerajaan negeri tidak meminggirkan mana-mana kaum walaupun dasar negeri berteraskan Membangun Bersama Islam,” tegasnya.
Tambahnya, Kelantan juga antara negeri yang menyediakan peruntukan bagi rumah ibadat bukan Islam seperti untuk pembinaan infrastruktur serta pengurusan hal ehwal agama mereka.
“Ini adalah model keharmonian terbaik yang kita mahu tonjolkan, bukan sahaja untuk Kelantan tetapi sebagai contoh kepada negeri-negeri lain di Malaysia,” katanya.



0 Comments