Kelantan tinjau kaedah pengurusan hutan mapan di Jabatan Hutan Sarawak


Oleh: Asri Hamat
Kredit foto: FB YB Dato' Wan Roslan

KOTA DARULNAIM, 1 Disember - Kerajaan Negeri Kelantan yang diketuai Timbalan Menteri Besar YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan mengadakan lawatan penanda aras ke Jabatan Hutan Sarawak (JHS) bagi meninjau pendekatan negeri itu dalam pengurusan hutan mampan dan pelaksanaan perdagangan karbon.

Sehubungan itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi YB Dato' Wan Roslan Wan Hamat berkata lawatan tersebut memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk melihat secara lebih dekat model pengurusan hutan Sarawak yang kini menjadi rujukan dalam pelaksanaan ekonomi hijau.

“Banyak pengalaman dan amalan baik yang boleh dijadikan rujukan untuk memperkukuh dasar serta gerak kerja Kelantan dalam agenda ekonomi hijau.


"Terima kasih kepada pihak Jabatan Hutan Sarawak atas sambutan yang baik dan perkongsian yang bermanfaat. In sya-Allah, input yang diterima akan membantu Kelantan bergerak lebih teratur dalam pelaksanaan dasar perdagangan karbon negeri,” katanya menerusi media sosial pada Sabtu.

Sementara itu, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) pula dalam satu hantaran di media sosialnya pada Ahad menyatakan bahawa lawatan delegasi Kelantan itu bertujuan untuk menimba pengalaman dan mendapatkan kefahaman mendalam mengenai strategi serta pelaksanaan inisiatif perdagangan karbon melalui pengurusan hutan secara mampan.

"Lawatan tersebut juga membolehkan delegasi melihat secara langsung amalan terbaik Pembalakan Berimpak Rendah (RIL) serta keberkesanannya terhadap kelestarian ekosistem hutan serta dapat mewujudkan jaringan kerjasama profesional antara Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) dan JHS dalam penyelidikan, pembangunan kapasiti serta pengurusan sumber hutan," kata JHS.

Lawatan penanda aras ini turut memperkukuh hubungan profesional antara Sarawak dan Kelantan, selain membuka ruang kerjasama lebih strategik ke arah pengurusan hutan yang mampan, berintegriti serta seiring dengan agenda perubahan iklim negara.



Post a Comment

0 Comments