![]() |
| Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS), Kamal Mohamad |
Oleh: Asri Hamat
KOTA BHARU, 11 Disember - Penyokong bola sepak di Kelantan, khususnya di Parlimen Tumpat dan Machang, diharap tidak melepaskan peluang untuk hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala YAB Menteri Besar Kelantan yang bakal menemukan pasukan DUN Wakaf Bharu dan DUN Kemuning.
Aksi penentuan juara itu akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV pada 13 Disember (Sabtu), bermula pukul 8.30 malam.
Pengarah Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Kelantan (U-BeS) Kamal Mohamad berkata kejohanan tersebut merupakan kesinambungan daripada saingan Liga Elit DUN yang membabitkan semua 45 DUN di negeri ini.
“Juara liga elit setiap DUN layak mewakili kawasan masing-masing ke Piala Menteri Besar. Di peringkat Liga Elit DUN, sebanyak 517 pasukan terlibat, manakala 48 pasukan berentap dalam saingan Piala Menteri Besar. Kedua-dua kejohanan ini dianjurkan oleh U-BeS,” katanya pada sidang media di Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.
Menurutnya, perlawanan akhir kali ini dijangka sengit dengan kedua-dua finalis Wakaf Bharu dari Tumpat dan Kemuning dari Machang merebut hadiah wang tunai RM6,000, piala dan pingat.
Beliau turut memaklumkan bahawa pengurusan Sukan Malaysia (SUKMA) Negeri Kelantan akan hadir menyaksikan aksi final itu bagi meninjau bakat-bakat baharu untuk diserap ke skuad bola sepak SUKMA 2028 yang berlangsung di Kelantan sebagai tuan rumah.
“Kita berharap lebih ramai bakat dapat dikenal pasti melalui Liga Elit DUN dan Piala Menteri Besar ini untuk mewakili negeri pada SUKMA 2028,” katanya.
Mengenai penambahan nilai hadiah, beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat YB Zamakhshari Muhamad, bagi edisi akan datang.
![]() |
| Dari kiri Ketua Pasukan DUN Wakaf Bharu Muhammad Azwar Zakwan Mohd Zin, dari kanan Ketua Pasukan Kemuning Nur Iman Haikal Hearman |
Sementara itu, Ketua Pasukan DUN Wakaf Bharu Muhammad Azwar Zakwan Mohd Zin optimis pasukannya mampu membawa pulang trofi tersebut ke Tumpat meskipun kehilangan lima tonggak utama.
“Kami tetap yakin dapat mengekalkan Piala Menteri Besar di Tumpat yang tahun lalu dimenangi oleh DUN Pengkalan Kubor. Insya Allah tahun ini kami menang 2-0,” katanya.
Bagi Ketua Pasukan Kemuning Nur Iman Haikal Hearman pula, beliau bertekad mencipta sejarah untuk membawa trofi berprestij itu ke Machang.
“Kemuning akan menampilkan aksi terbaik bagi memastikan Piala Menteri Besar dibawa ke bumi Machang. Insya Allah kami menang 3-0,” katanya.




0 Comments