Pelaburan pendidikan bentuk generasi berwibawa masa hadapan – Dato' Mohd Amar


Oleh: Syamimi Manah
Kredit foto: Media ADN

KOTA DARULNAIM, 31 Disember – "Kerajaan negeri terus menegaskan komitmen menjadikan pendidikan sebagai pelaburan utama bagi melahirkan generasi berwibawa dan berdaya saing pada masa hadapan."

Ahli Dewan Negeri (ADN) Panchor. YB Dato’ Sri Amar Diraja Mohd Amar Abdullah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor.

Sebanyak 366 siswa-siswi menerima sumbangan wang tunai tersebut di Dewan Tok Ayah Kedah Komtar Panchor, Pengkalan Chepa, semalam.


Menurutnya, sumbangan yang disalurkan bukan sekadar bertujuan meringankan beban kewangan para pelajar dan keluarga, malah menjadi pemangkin semangat kepada para mahasiswa agar terus beriltizam, berdaya saing serta konsisten dalam menuntut ilmu.

“Sumbangan ini diharapkan dapat menyemai keyakinan diri, membentuk jati diri unggul serta melahirkan generasi berpendidikan tinggi yang berwibawa dan bersedia menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat, negeri dan negara,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri sentiasa meletakkan pendidikan sebagai agenda utama pembangunan kerana ia merupakan pelaburan jangka panjang yang memberi manfaat besar kepada kesejahteraan rakyat serta masa depan negeri.


Dato' Mohd Amar turut memaklumkan bahawa inisiatif sumbangan pendidikan kepada mahasiswa di DUN Panchor telah dilaksanakan secara konsisten selama 10 tahun.

“Kerajaan negeri komited untuk meneruskan lagi inisiatif ini pada tahun-tahun akan datang kerana pendidikan adalah asas pembentukan modal insan berkualiti dan pemacu utama pembangunan negeri,” jelasnya.



Post a Comment

0 Comments