KOTA BHARU: Bekas Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Ir Wan Mohd Zamri Wan Ismail, 64 melahirkan rasa syukur kerana dibebaskan Mahkamah Sesyen terhadap tuduhan menerima rasuah lima tahun lalu.
Beliau berkata, kes yang dihadapi sebelum ini berlarutan sejak lima tahun lalu yang bermula pada tahun 2021.
“Saya merakam ucapan syukur yang tidak terhingga terhadap Allah Talla kerana memberi kemenangan ke atas kes mahkamah yang saya hadapi.
“Doa saya untuk memperolehi ketenangan, kesabaran, sakinah dalam menghadapi ujian ini telah dimakbulkan Ilahi,” katanya di sini.
Semalam Hakim Mahkamah Sesyen Kota Bharu Dazuki Ali membuat keputusan melepas dan membebaskan Wan Zamri daripada tuduhan rasuah berjumlah RM10,000.
Pada penghakiman itu pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Sebaliknya, pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.
Menurut hakim penjelasan jujur tertuduh diterima bahawa wang RM10,000 untuk sumbangan banjir digunakan bagi membantu mangsa banjir besar pada akhir Disember 2014.
Berdasarkan pertuduhan beliau didakwa menerima wang berjumlah RM10,000 daripada Ng Tze Wei melalui sekeping cek bertarikh 21 Januari 2015, yang dikredit ke dalam akaun milik tertuduh pada 22 Januari 2015.
Wan Zamri dibela peguam Ahmad ‘Adha ‘Amir Yasser Amri dan Nur Sarah Syamimi Safie. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mariah Omar.
Wan Zamri juga berkata, sebelum ini beliau mengorbankan masa dan wang hadir di setiap sesi pembicaraan tanpa gagal.
“Doa dan harapan kawan-kawan, kenalan dan ahli kariah serta waris memberi impak yang besar kepada saya supaya mengharungi situasi dengan tenang dan mendapat sokongan mereka,” ujarnya.
Kata beliau juga pada pandangan peribadinya kes itu sebagai cubaan pihak yang dianggap berdendam dan ingin melakukan ‘character assassination’ ke atas dirinya.
Menurutnya usaha pihak terbabit berselindung di bawah bayangan politik.
“Sikap yang saya ambil dalam menghadapi ujian tersebut tawakal kepada Allah dengan bermunajat, zikir serta doa,” ujarnya.

0 Comments