Pengiktirafan UEC tidak wajar - Dr Wan Martina

Ahli Dewan Negara, YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff

Oleh: Syamimi Manah

KUALA LUMPUR, 15 Disember – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dalam Sistem Pendidikan Negara bukan satu keperluan dan tidak wajar dilaksanakan selagi ia tidak selaras sepenuhnya dengan dasar pendidikan kebangsaan, kata Ahli Dewan Negara YB Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff.

Ahli Dewan Negara itu menegaskan, pendirian tersebut bukan berasaskan sentimen perkauman atau penafian terhadap kepelbagaian laluan pendidikan, sebaliknya berpaksikan tanggungjawab mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Dasar Pendidikan Kebangsaan serta agenda pembinaan negara-bangsa.

“Dasar pendidikan kebangsaan diwujudkan dengan matlamat yang menyeluruh termasuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, menjamin keseragaman piawaian akademik dan memperkukuh integrasi sosial melalui sistem pendidikan yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sehingga kini UEC masih belum memenuhi tahap penjajaran yang diperlukan, khususnya dari aspek bahasa pengantar, mekanisme penilaian dan tahap penyepaduannya dengan struktur pendidikan awam negara.

Dr. Wan Martina turut berpandangan bahawa isu pengiktirafan UEC sering dibangkitkan melalui lensa politik semasa, sedangkan kesannya terhadap sistem pendidikan dan keharmonian masyarakat adalah bersifat jangka panjang.

“Keputusan berkaitan pendidikan perlu dibuat secara berprinsip dan berasaskan kepentingan nasional yang luas, bukan dipengaruhi tekanan atau pertimbangan jangka pendek,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keutamaan negara seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh sistem pendidikan kebangsaan agar terus relevan, berkualiti serta berfungsi sebagai asas utama perpaduan rakyat Malaysia.

“Selagi UEC tidak diselaraskan sepenuhnya dengan kerangka dan keperluan dasar pendidikan kebangsaan, pengiktirafannya adalah tidak wajar,” tegasnya.

Post a Comment

0 Comments